Rosmah gagal tangguh pembayaran, syarikat barang kemas berhak tuntut RM67.5 juta

Rosmah gagal tangguh pembayaran, syarikat barang kemas berhak tuntut RM67.5 juta

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL kini berhak memulakan prosiding penguatkuasaan pelaksanaan (enforcement of execution) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor bagi menuntut pembayaran pampasan bernilai hampir RM67.5 juta.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril sebulat suara menolak permohonan Rosmah, 75, selaku perayu untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi secara tanpa syarat (unconditional stay).

“Kami berpendapat bahawa tiada alasan munasabah yang wajar untuk membenarkan penangguhan tanpa syarat. Atas alasan-alasan berkenaan, kami menolak usul ini,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh dan Datuk Aliza Sulaiman.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar kos sebanyak RM30,000.

Pada 10 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Quay Chew Soon memerintahkan isteri bekas Perdana Menteri itu untuk membayar ganti rugi sebanyak RM67,461,027.37 selepas mendapati Rosmah bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta milik syarikat barang kemas dari Lebanon, Global Royalty Trading SAL.

Pada 12 Ogos lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Marianne Antoinette Ghani membenarkan penangguhan pembayaran itu secara terus kepada syarikat berkenaan tetapi memerintahkan jumlah ganti rugi itu didepositkan kepada sebuah akaun pemegang amanah dalam tempoh sebulan.

Jumlah tersebut akan disimpan di akaun berkenaan sehingga rayuan penuh kes berkenaan diputuskan.

Peguam, Datuk David Gurupatham ketika ditemui berkata, Rosmah telah melanggar perintah mahkamah (breach of court order) selepas gagal mematuhi syarat penangguhan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Oleh kerana beliau tidak membayarnya, ini bermakna beliau telah melanggar syarat perintah tersebut. Apabila anda gagal memenuhi syarat berkenaan, perintah penangguhan (stay) itu terhenti secara automatik.

“Setakat ini juga, saya bersedia, berupaya dan berhasrat untuk menguatkuasakan penghakiman berkenaan dan saya akan menuntut setiap hak. Kami boleh kembali ke Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasakan perintah atau kami boleh mengambil tindakan terhadap aset-aset lain,” katanya.

Tambahnya, pihak perayu juga gagal memberikan penjelasan mengenai status aset-aset lain yang dimiliki, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada barangan kemas berkenaan sahaja.

Katanya, keadaan itu menimbulkan andaian undang-undang (presumption of law) yang meragukan apabila hanya menyerahkan penyata akaun bank tidak aktif sebagai bukti kewangan bagi menunjukkan ketiadaan sumber lain.

“Semasa di Mahkamah Tinggi nilai yang disebutkan ialah RM100,000, tetapi di mahkamah ini ia hanya RM20 dalam akaun dorman (tidak aktif). Bagaimana mungkin seseorang boleh hidup dengan hanya RM20 dalam akaun yang tidak aktif? Di situ wujud andaian undang-undang,” katanya.

Prosiding hari ini turut dikendalikan peguam, Mohamed Reza Abdul Rahim mewakili Rosmah, David dan Venothani Rajagopal mewakili Global Royalty Trading SAL manakala Peguam Kanan Persekutuan, Siti Aishah Ramlan bagi pihak kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×