KUALA LUMPUR: Akta Anti-Buli 2026 (Akta 876) yang mula berkuat kuasa sejak 1 Mac lalu memberi penekanan kepada pendekatan pemulihan mangsa dan pembimbingan pelaku, bukan semata-mata berasaskan hukuman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, menerusi Akta 876, kerajaan turut mewujudkan platform baharu iaitu Tribunal bagi Antibuli (TAB).
Beliau berkata, penubuhan TAB bukan sekadar memberi fokus kepada menghukum pembuli, sebaliknya turut bertujuan memulihkan mangsa, membimbing pelaku serta memastikan setiap aduan ditangani dengan cepat dan telus.
Katanya, ibu bapa juga perlu memahami peranan Akta 876 serta TAB yang ditubuhkan bagi menangani isu buli.
“Ibu bapa pun wajib memahami apa sebenarnya Akta AntiBuli. Sebab di dalam akta ini, kebolehan dan keunikan akta ini, kita melihat tanggungjawab bersama adalah terhadap ibu bapa juga.
“Ia tidak berhenti hanya kepada anak-anak di sekolah iaitu yang berumur 18 tahun ke bawah,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Program Literasi Akta 876 dan Peranan TAB di Maktab Tentera Diraja (RMC), di sini.
Azalina berkata, perbuatan buli tidak boleh dilihat sebagai satu tradisi atau proses untuk menjadikan seseorang lebih kuat.
“Kita tidak boleh lihat buli sebagai tradisi. Sebab orang lain kena buli dan ia merupakan tradisi maka ia dibenarkan. Hari ini, dengan adanya Akta Antibuli, kita melihat buli sebagai satu mekanisme untuk mengintimidasi.
“Buli ini tidak boleh dilihat sebagai disiplin, jauh sekali untuk dilihat sebagai simbol kepimpinan,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina menyeru supaya tiada pihak, termasuk pelajar, melindungi pembuli, sebaliknya segera melaporkan kejadian kepada TAB.
“Kalau kita nampaklah kawan-kawan kita di dalam atau di luar dibuli, janganlah mendiamkan diri. Kalau kita tahu seseorang itu menderita, janganlah kita berpaling. Dan kalau kita sendiri menjadi mangsa, janganlah takut untuk bersuara dan membuat aduan. Itu adalah tindakan wira.
“Menjadi sebabnya anda berada di RMC. Sebagai anggota tentera, anda mahu mempertahankan maruah dan negara. Itulah sifat-sifat seseorang yang memahami tugas dan peranannya. Betul?
“Anda berada di sini untuk mempertahankan. Takkanlah dengan musuh kita pertahankan, tetapi apabila berdepan dengan rakan yang menjadi mangsa, kita tidak mahu membela mereka,” katanya.-UTUSAN











