Menjaga Selat Melaka untuk generasi akan datang

Menjaga Selat Melaka untuk generasi akan datang

KERJASAMA Malaysia bersama negara jiran penting untuk memastikan Selat Melaka terus bersih, selamat dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAT Melaka bukan sekadar laluan perdagangan antarabangsa, sebaliknya menjadi nadi kehidupan, ekologi dan ekonomi rantau ini. Lebih 100,000 kapal merentasi selat berkenaan setiap tahun, menjadikannya antara laluan maritim paling sibuk di dunia.

Namun, di sebalik kepentingan strategiknya, Selat Melaka berdepan pelbagai cabaran yang memerlukan perhatian serius Malaysia dan negara jiran.

Kestabilan serta kelestariannya bukan sahaja berkaitan keselamatan perdagangan, malah menyentuh kelangsungan ekosistem pantai, burung hijrah, penyu dan komuniti pesisir yang bergantung kepada sumber laut.

Sejarah merekodkan beberapa insiden tumpahan minyak di Selat Melaka yang menjejaskan hutan bakau dan kawasan pantai. Bakau penting sebagai benteng semula jadi bagi mengurangkan hakisan, selain menjadi habitat pelbagai hidupan.

Kawasan pantai landai yang menjadi persinggahan burung hijrah turut terdedah kepada pencemaran sehingga menjejaskan sumber makanan dan tempat rehatnya.

Pada masa sama, pencemaran plastik daripada kapal semakin membimbangkan. Walaupun statistik khusus mengenai jumlah plastik terapung yang berpunca daripada kapal masih terhad, namun sisa berkenaan boleh mencemarkan laut serta mengancam penyu dan burung laut.

Hakisan pantai akibat pembangunan pesisir turut menambah tekanan terhadap ekosistem yang sudah rapuh. Lebih penting, pencemaran dari sungai yang bermuara ke Selat Melaka turut menyumbang kepada masalah ini. Justeru, usaha melindungi selat tidak boleh hanya tertumpu kepada laut, sebaliknya perlu bermula dari kawasan daratan dan sungai.

Selat Melaka juga merupakan koridor penting bagi burung hijrah dari Siberia dan Asia Timur yang bergerak menuju Australia. BirdLife International dan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) menekankan kepentingan perlindungan habitat sebagai sebahagian daripada rangkaian tapak Ramsar dan kawasan kepelbagaian biologi global.

Begitu juga penyu yang mendarat di pantai sepanjang Selat Melaka. Pencemaran minyak dan plastik boleh mengancam kitaran hidupnya, manakala pembangunan pesisir tanpa kawalan berpotensi menjejaskan kawasan pendaratan. Malaysia sebagai negara anggota konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) mempunyai tanggungjawab untuk memastikan sumber dan habitat ini terus dilindungi.

Dari sudut keselamatan, kesesakan kapal meningkatkan risiko perlanggaran serta tumpahan minyak. Malaysia bersama Indonesia dan Singapura telah mewujudkan Patrol Laut Selat Melaka (MSSP) bagi memperkukuh keselamatan di selat tersebut.

Bagaimanapun, cabaran geopolitik turut menjadi semakin kompleks apabila kuasa besar dunia melihat Selat Melaka sebagai laluan tenaga dan perdagangan yang strategik.

Dasar maritim Malaysia perlu terus berteraskan kedaulatan negara, kerjasama serantau dengan Indonesia dan Singapura serta pematuhan undang-undang antarabangsa seperti UNCLOS 1982 bagi memastikan selat ini kekal aman dan selamat.
Bagi menghadapi cabaran tersebut, Malaysia memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh. Pertama, sistem pengawasan dan radar perlu diperkukuh dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta penderiaan jauh bagi mengesan kapal yang berisiko.

Kedua, pusat tindak balas pantas terhadap tumpahan minyak perlu diwujudkan atau diperkasa di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dengan peralatan moden serta latihan berkala. Keupayaan bertindak pantas penting bagi mengelakkan pencemaran merebak ke kawasan pantai dan habitat sensitif.

Ketiga, pelabuhan utama perlu menyediakan bekalan kuasa darat supaya kapal tidak perlu bergantung kepada enjin diesel ketika berlabuh. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan karbon, malah membantu meningkatkan amalan pelabuhan yang lebih mesra alam.

Keempat, kerjasama serantau melalui MSSP perlu diperdalam, termasuk perkongsian data masa nyata mengenai pergerakan kapal dan risiko keselamatan. ASEAN pula boleh dimanfaatkan sebagai platform diplomasi untuk memastikan Selat Melaka terus menjadi laluan perdagangan yang bebas, selamat dan stabil.

Kelima, jaringan kawasan perlindungan pantai untuk hidupan liar perlu diperkukuh melalui kerjasama dengan organisasi seperti BirdLife International dan IUCN.

Penguatkuasaan terhadap pencemaran udara dan air maritim perlu dipergiat bagi membanteras pembuangan sisa minyak serta air pengimbang secara haram oleh kapal dagang. Insentif mesra alam seperti diskaun tarif pelabuhan hijau juga boleh digunakan bagi menggalakkan syarikat perkapalan mematuhi piawaian alam sekitar.

Perlindungan hidupan marin pula memerlukan pendekatan khusus. Zon had kelajuan kapal di kawasan migrasi aktif boleh membantu mengurangkan risiko perlanggaran dengan mamalia laut seperti dugong dan lumba-lumba serta hidupan lain termasuk penyu.

Pada masa sama, usaha membersihkan pukat hantu yang terbiar di dasar laut perlu dipertingkatkan. Pemulihan hutan paya bakau di sepanjang pesisir juga penting kerana ekosistem ini berfungsi sebagai penapis semula jadi, benteng pantai dan kawasan pembiakan hidupan liar.

Sempena Sambutan Hari Maritim Sedunia hari ini yang membawa tema ‘Daripada Dasar kepada Amalan: Memacu Kecemerlangan Maritim’ mengingatkan pentingnya menterjemahkan dasar global kepada tindakan praktikal, khususnya dalam aspek keselamatan kapal dan pengurangan sisa plastik di laut.

Hari Sungai Sedunia pada 27 September pula menekankan kepentingan sungai dan terusan dalam kehidupan masyarakat. Kedua-dua sambutan ini boleh menjadi momentum untuk meningkatkan kesedaran bahawa sungai yang bersih turut menjadi asas kepada perlindungan ekosistem Selat Melaka.

Kelestarian Selat Melaka akhirnya memerlukan keseimbangan antara kepentingan ekonomi dengan amanah menjaga alam sekitar. Laluan perdagangan ini memberi manfaat besar kepada Malaysia dan rantau ini tetapi keuntungan ekonomi tidak seharusnya mengorbankan warisan alam.

Malaysia perlu terus memimpin usaha serantau dengan mengawal pencemaran minyak dan plastik, melindungi habitat burung hijrah serta penyu, memulihkan ekosistem pesisir dan memperkukuh keselamatan maritim. Selat Melaka bukan sekadar laluan kapal, tetapi khazanah yang perlu diwariskan dalam keadaan selamat, bersih dan lestari. –UTUSAN

 

DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×