Kerajaan Persekutuan perlu hormati hak Negeri Sembilan – Azalina

Kerajaan Persekutuan perlu hormati hak Negeri Sembilan – Azalina

AZALINA Othman Said ketika hadir pada Program Literasi Akta Antibuli 2026 (AKTA 876) dan Peranan Tribunal Bagi Antibuli (TAB) di Dewan Tun Templer 2, Maktab Tentera Di Raja (RMC) Sungai Buloh di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan kerajaan negeri secara melulu, sebaliknya perlu menghormati hak negeri berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua pihak perlu menghormati kerajaan negeri kerana setiap negeri mempunyai Perlembagaan dan undang-undang tersendiri.

“Dalam perlembagaan kita, apa yang boleh dan tak boleh buat ialah negeri dengan pusat. Kita kena menghormati negeri, dia ada undang-undang di sini dan dia ada Perlembagaan dia, kerajaan pusat pusat pun ada Perlembagaan kita. Jadi benda ini berlainan.

“Saya mula mukaddimah menyatakan bahawa Adat Temenggong lain dengan isu Adat Perpatih. Ini menjadi keutamaan bila orang nak faham. Dan keduanya, Negeri Sembilan ada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Kalau kita terlebih-lebih mengulas, dan saya tidak ada kepakaran, saya rasa pun kita tidak boleh mengelirukan orang awam. Mungkin pakar boleh mengulas, tapi saya bukan pakar. Johor saya boleh cakap,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan Peranan Tribunal bagi Antibuli (TAB) di media di Maktab Tentera Diraja (RMC), di sini.

Terdahulu, 10 bekas presiden Majlis Peguam menggesa kerajaan Persekutuan campur tangan bagi menyelesaikan kemelut perlembagaan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Dalam kenyataan pada Isnin, mereka menyifatkan perkembangan terbaharu membabitkan Tuanku Muhriz menimbulkan kebimbangan serius terhadap sistem raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Dalam pada itu, Azalina enggan mengulas mengenai keputusan Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal.

Bagaimanapun, beliau berkata, pertukaran jawatan dalam pentadbiran kerajaan merupakan perkara biasa.

“Saya tidak boleh komen, saya tidak tahu. Saya tidak terlibat dalam apa-apa keputusan. Tapi bagi pandangan peribadi saya, banyak orang jadi Ketua Menteri dan Menteri Besar pun dia tukar Setiausaha Kerajaan. Menteri pun tukar Ketua Setiausaha. Itu adalah proses biasa.

“Kalau kita ingat, masa Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri pun, beliau tukar Peguam Negara, kan? Selepas itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Perdana Menteri. Itu memang hak kepimpinan.

“Tapi nak komen lebih atas kenyataan Jabatan Peguam Negara, saya tak ada maklumat nak komen lebih. Saya baca apa yang semua orang baca. Itu pun dapat maklumat itu tengah-tengah malam semalam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×