SEREMBAN: Pertemuan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar hari ini dibatalkan atas faktor keselamatan.
Menurut sumber, pembatalan itu dibuat selepas pihak berkuasa menasihatkan supaya sesi berkenaan tidak diteruskan.
Sesi yang dijadualkan pada pukul 9 pagi itu pada asalnya dirancang sebagai pertemuan ringkas antara Ismail, barisan Exco dan sebahagian ADUN kerajaan dengan Tunku Nadzaruddin.
Sekitar pukul 10 pagi, media kemudiannya bergerak ke sebuah hotel di sini selepas mendapat maklumat Ismail dan barisan Exco berada di premis berkenaan.
Bagaimanapun, usaha media mendapatkan perkembangan lanjut tidak berhasil selepas pihak hotel tidak membenarkan pemberita memasuki kawasan kafeteria.
Ismail bersama barisan Exco dan beberapa ADUN kemudiannya dilihat meninggalkan hotel berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi.
Sebelum ini, Ismail dan barisan Exco dilaporkan dijadual menghadiri majlis bersama Tunku Nadzaruddin yang antara lain bertujuan sebagai sesi suai kenal dan mengeratkan hubungan.
Turut dijangka hadir ialah Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.-UTUSAN











