APEA 2026 iktiraf kecemerlangan industri poltri Asia

APEA 2026 iktiraf kecemerlangan industri poltri Asia

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin (tengah) bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Harun (tiga kanan) melakukan gimik pelancaran Anugerah Kecemerlangan Industri Ayam Asia 2026 (APEA) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sumbangan dan pencapaian 11 syarikat serta individu dalam memacu kemajuan industri poltri di Malaysia dan rantau Asia diiktiraf menerusi Asian Poultry Industry Excellence Awards 2026 (APEA 2026).

Majlis penganugerahan yang berlangsung sempena Poultry Asia 2026 itu menyaksikan pelbagai anugerah disampaikan kepada pemain industri atas pencapaian mereka dalam pelbagai kategori termasuk kepimpinan, keselamatan makanan, penternakan mampan, inovasi dan kecemerlangan industri.

Poultry Asia 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 September menghimpunkan pengeluar, pemproses, penyedia teknologi, pakar kesihatan haiwan serta pemain industri dari Malaysia dan luar negara.

Antara penerima anugerah ialah Leong Hup International Berhad yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Syarikat), manakala Charoen Pokphand Foods Malaysia menerima Anugerah Kepimpinan Industri Poltri.

Turut menerima pengiktirafan ialah Harumi Brands Sdn. Bhd. menerusi Anugerah Pengeluaran, Kemampanan, Kualiti dan Inovasi, sementara Tyson Foods Malaysia menerima Anugerah Kemudahan Pemprosesan Poltri Terbaik.

Selain itu, CAB Cakaran Corporation Berhad menerima Anugerah Kecemerlangan Industri Poltri, manakala QL Resources Berhad menerima Anugerah Kepimpinan Keselamatan Makanan dalam Industri Poltri.

Sementara itu, San Miguel Foods menerima Anugerah Kecemerlangan dalam Kualiti Produk Poltri dan Mong Reththy Group Co., Ltd menerima Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Tani Poltri.

Dua individu turut menerima pengiktirafan iaitu Datuk Dr. Tee Ah Kiat menerusi Anugerah Kesihatan Haiwan dan Advokasi Industri Terbilang serta Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus bagi Anugerah Sains Poltri dan Kebajikan Haiwan Terbilang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berucap merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri Ayam Asia 2026 (APEA) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, pencapaian penerima anugerah berkenaan mencerminkan inovasi, profesionalisme, ketekunan dan komitmen yang terus memacu kemajuan industri poltri.

Katanya, kejayaan tersebut turut membuktikan pencapaian yang mampu dihasilkan menerusi gabungan kepakaran, teknologi dan keazaman dalam kalangan pemain industri.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah.

“Saya berharap pencapaian ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pemain industri untuk mencapai standard kecemerlangan yang lebih tinggi dan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Poultry Asia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Harun.

Pengiktirafan selepas lebih 60 tahun

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Leong Hup International Berhad, Chong Choon Yeng menunjukkan plak Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat (Syarikat) pada Anugerah Kecemerlangan Industri Ayam Asia 2026 (APEA) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Leong Hup International Berhad, Chong Choon Yeng berkata, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang diterima syarikat itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan pelbagai pihak sepanjang lebih 60 tahun penubuhannya di Malaysia.

Beliau berkata, hasil sumbangan pengasas, ahli keluarga, pekerja dan pihak berkepentingan, syarikat yang bermula di Malaysia itu kini telah mengembangkan operasinya ke Indonesia, Vietnam, Filipina dan Singapura.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada kumpulan kami. Ia adalah milik semua orang yang telah menyumbang kepada pembangunan syarikat sejak penubuhannya.

“Bagaimanapun, kami percaya anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya turut membawa tanggungjawab besar untuk terus meningkatkan standard operasi dan memajukan industri poltri menerusi penggunaan teknologi baharu,” katanya.

Komited tingkat keselamatan makanan

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Tyson Foods (M) Sdn. Bhd., Jimmy Koid berkata, pengiktirafan yang diterima syarikat itu mencerminkan komitmennya terhadap keselamatan makanan, keselamatan di tempat kerja, kecemerlangan operasi, inovasi dan penambahbaikan berterusan.

Katanya, pencapaian tersebut turut membuktikan dedikasi seluruh pasukan syarikat dalam usaha memenuhi piawaian industri.

Sehubungan itu, beliau berkata, Tyson Foods Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dan penambahbaikan operasi bagi memastikan penghasilan produk yang selamat serta berkualiti tinggi.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada automasi, sistem keselamatan makanan dan kecemerlangan operasi bagi memastikan penghasilan produk yang selamat serta berkualiti tinggi secara konsisten.

“Usaha ini juga akan meningkatkan kecekapan, kebolehkesanan dan keseragaman produk,” katanya.

Tingkat pengiktirafan jenama tempatan

Sementara itu, Pengarah Urusan Harumi Brands Sdn. Bhd., Datuk Alex Ding Seng Huat berkata, penganjuran majlis anugerah seumpama itu penting bagi meningkatkan pengiktirafan terhadap jenama dan produk syarikat tempatan.

Katanya, program berkenaan turut menggalakkan penyertaan lebih ramai pemain industri dan memberi manfaat kepada syarikat yang terlibat secara langsung dalam sektor poltri.

“Pengiktirafan pelanggan dan publisiti amat penting. Kami memerlukan lebih ramai orang mengenali jenama serta produk kami.

“Program seperti ini menggalakkan penyertaan lebih meluas dan memberi manfaat kepada pemain industri, khususnya syarikat seperti kami yang terlibat secara langsung dalam industri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×