LONDON: United Kingdom (UK) dan Perancis bersetuju untuk membantu Arab Saudi yang kini menghadapi serangan dron dan peluru berpandu Houthi yang dilancarkan secara berterusan dari Yemen dalam konflik Asia Barat yang semakin meningkat.
London bersetuju menyediakan sokongan udara pertahanan kepada Arab Saudi bagi membantu menentang pejuang Houthi dan memulihkan kestabilan di Asia Barat selain mengurangkan kos sara hidup di dalam negaranya sendiri.
Perdana Menteri UK, Andy Burnham berkata, beliau bersetuju dengan permintaan untuk menyediakan pesawat pengisian bahan api udara ke udara bagi jet Arab Saudi bagi mempertahankan infrastruktur tenaga daripada serangan Houthi yang disokong Iran itu selain membantu memastikan aliran minyak dari Teluk terus berjalan bagi meredakan kegawatan ekonomi global.
Dalam penerbangan menuju ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Isnin, Burnham memberitahu pemberita bahawa sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) Voyager akan membantu mengisi bahan api jet pejuang Arab Saudi selama beberapa minggu, dalam penempatan ketenteraan pertamanya sejak beliau menjadi perdana menteri menggantikan Keir Starmer Julai lalu dan selepas Houthi mara ke kawasan bersebelahan dengan Selat Bab al-Mandab.
Sekutu utama di Teluk itu menggunakan laluan laut berkenaan sebagai alternatif bagi eksport minyak, mengelak gangguan di Selat Hormuz.
Sokongan operasi RAF itu adalah sebagai tambahan kepada sistem pertahanan udara UK Sky Sabre yang sudah beroperasi di Arab Saudi.
Arab Saudi sebelum ini meminta bantuan sekutu serantau dan negara Barat untuk memperkukuh pertahanan udaranya susulan stok peluru berpandu pemintas yang semakin berkurangan ketika berdepan serangan Houth.
Perancis turut bersedia bekerjasama untuk melindungi infrastruktur tenaga Arab Saudi dengan mengamalkan pendekatan semata-mata untuk pertahanan, kata sumber diplomatik pada Isnin.
“Perancis bersedia menyumbang kepada usaha melindungi infrastruktur tenaga Arab Saudi di Yanbu dan sepanjang Saluran Paip Timur-Barat, dalam kerangka pendekatan yang semata-mata untuk pertahanan,” kata sumber itu, sambil menegaskan bahawa ia sama sekali tidak melibatkan penyertaan dalam konflik dengan Houthi.
Pergolakan di Asia Barat menyebabkan harga tenaga global meningkat, sekali gus memberi tekanan inflasi hebat terhadap ekonomi UK dan meningkatkan kos pinjaman kerajaan ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, hanya beberapa minggu sebelum pembentangan belanjawan pertama yang penting bagi kerajaan baharu itu.
Perang di Yemen bermula pada 2014 selepas Houthi yang merupakan proksi Iran menawan ibu negara Sanaa sebelum sebahagian besarnya pertempurannya dengan tentera kerajaan terhenti sejak 2022 sebelum kembali tercetus pada Julai lalu.
Arab Saudi mengetuai pakatan yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sejak 2015.
Campur tangan Riyadh itu meningkatkan lagi skala perang yang mencetuskan salah satu krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.
Bagaimanapun, setakat ini Amerika Syarikat (AS) masih belum campur tangan dengan menyerang Houthi walaupun Washington masih berperang dengan Iran.
Sementara itu, serangan Arab Saudi ke atas pelabuhan strategik Mokha di Laut Merah, Yemen, mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan lapan lagi, lapor agensi berita Saba yang berafiliasi dengan Houthi pada Selasa.
Serangan itu berlaku susulan serangan Houthi terhadap Riyadh pada Sabtu, yang merupakan serangan pertama menyasarkan ibu negara Arab Saudi itu dalam tempoh beberapa tahun.
Awal bulan ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengutuk serangan Houthi terhadap Arab Saudi yang menyasarkan kemudahan minyak dan mencederakan puluhan orang.











