Gegaran dirasai penduduk Kuala Pilah, Jempol

Gegaran dirasai penduduk Kuala Pilah, Jempol

Gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 yang dilaporkan berlaku di perairan Batu Pahat, Johor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Penduduk di sekitar Juasseh, di sini dan Serting, Jempol dikejutkan dengan gegaran yang dirasai susulan gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 yang dilaporkan berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada pukul 4.55 petang tadi.

Penduduk Taman Nada Seruni, Juasseh, Suzi Shamsudin, 45, berkata, gegaran yang dirasai ketika berada di rumah itu turut menyebabkan dia berasa pening.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangka gegaran berkenaan berpunca daripada guruh atau keadaan lain sebelum mendapati beberapa penduduk turut merasainya.

“Ketika duduk di sofa, saya rasa macam bergegar dan kepala pun rasa sedikit pening. Pada mulanya saya ingat macam guruh hendak hujan.

“Saya kemudian keluar untuk ambil anak dari sekolah agama. Selepas balik rumah, baru saya buka telefon dan tengok dalam kumpulan media sosial, ramai yang kata mereka turut rasa gegaran ” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seorang penduduk di Kampung Serting Ilir, Jempol,  Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 35, berkata gegaran berkenaan dirasainya kira-kira dua hingga empat saat ketika dia sedang menunggu anaknya di sekolah.

“Pada mulanya saya ingat ada orang main mercun  sebab memang kawasan sini kadang-kadang ada orang baling mercun. Tetapi bila terasa gegaran itu, saya mula tertanya-tanya apa yang berlaku.

“Tidak lama kemudian saya buka kumpulan WhatsApp dan keadaan sudah kecoh apabila ramai mula memaklumkan bahawa mereka turut merasakan gegaran yang sama,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 berlaku di perairan Batu Pahat, Johor pada pukul 4.55 petang tadi. Gempa bumi itu berlaku pada koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×