PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MANDIRI, Amir Hadi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HAYAT, Dobby Chew telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) selepas hadir di pejabat Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Dalam hantaran di Instagram, MANDIRI memberitahu Amir dan Dobby kini ditempatkan di Lokap Berpusat Jinjang.
Menurut kenyataan berkenaan, sebelum memasuki pejabat berkenaan, Amir berkata lebih 20 anggota polis daripada unit AMLA hadir ke premis MANDIRI dan HAYAT di Petaling Jaya pada Jumaat lalu.
Kenyataan itu berkata, beberapa dokumen turut diambil dan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada polis.

“Dari awal lagi, kami mengambil pendirian untuk memberikan kerjasama penuh kerana tiada apa-apa yang kami sembunyikan.
“Bulan lalu, saya dan Dobby juga telah disekat daripada keluar negara,” katanya menerusi hantaran yang disiarkan di akaun sosial media MANDIRI hari ini.
Amir berkata MANDIRI dan HAYAT tidak pernah dihubungi pihak berkuasa sejak beberapa laporan polis dibuat terhadap mereka pada Mei lalu.
Katanya, mereka sendiri hadir ke pejabat AMLA pada minggu lalu untuk menyerahkan butiran pejabat dan nombor telefon sebelum premis berkenaan diperiksa polis.
Amir turut mendakwa mereka masih belum dimaklumkan mengenai kesalahan predikat yang menjadi asas siasatan berkenaan.
“Ketika pihak polis datang ke pejabat kami, apabila ditanya mengapa siasatan dijalankan, perkara yang disebutkan adalah wang yang mencurigakan.
“Hari ini kami berharap pihak polis dan pegawai penyiasat memberikan kesalahan predikat supaya kami mengetahui apakah sebenarnya siasatan yang ingin dijalankan,” katanya lagi.
Dalam hantaran berasingan BERSIH Malaysia memaklumkan akan mengadakan himpunan nyalaan lilin di Ibu Pejabat Polis (IPD) Jinjang pada malam ini sebagai tanda solidariti terhadap kedua-dua pengarah tersebut.
Terdahulu, MANDIRI memaklumkan polis menjalankan pemeriksaan di Rumah MANDIRIxHAYAT pada 18 September lalu dan mengambil beberapa dokumen.
Pada Isnin, dua anggota polis turut menyerahkan surat meminta wakil kedua-dua organisasi hadir untuk memberikan keterangan.











