Bertahun tuntut nafkah daripada suami

Bertahun tuntut nafkah daripada suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Rohaya Rosman, 63, berkata, walaupun bekas suaminya bergaji lumayan ketika bekerja dengan sebuah syarikat swasta, dia tetap gagal mendapatkan hak nafkah selepas lima tahun berulang-alik ke mahkamah.

Lebih mengecewakan, katanya, usaha mendapatkan perintah pemotongan gaji secara automatik daripada bekas suami terbantut apabila dia tidak mampu menanggung kos mendapatkan khidmat peguam syarie.

Rohaya berkata, dia mula menuntut nafkah selepas diceraikan bekas suami kira-kira dua dekad lalu, termasuk nafkah untuk dirinya dan lima anak yang ketika itu masih bersekolah.

“Ketika itu, saya hanya menggunakan perkhidmatan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). Sejak 2003, saya berulang-alik ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, namun gagal mendapatkan perintah mahkamah supaya gaji bekas suami dipotong secara automatik.

“Ketika itu, saya membuat tuntutan nafkah sara hidup sebanyak RM64,000 yang hanya mengambil kira kos makan pagi RM2 sehari. Nafkah anak pula yang dituntut RM1,500 ada dibayar, tetapi hanya sekali atau dua kali sahaja,” katanya.

Menurut Rohaya, selepas bertahun-tahun berdepan proses perundangan tanpa penyelesaian yang diharapkan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menghentikan tuntutan berkenaan dan bekerja sendiri bagi menyara lima anaknya yang masih bersekolah.

“Akhirnya, saya nekad tidak mahu meneruskan proses tuntutan dan mula bekerja sendiri bagi menyara lima anak yang masih bersekolah.

“Selepas bercerai, tiga bulan juga saya menunggu tawaran untuk bekerja, sampai anak-anak pernah cakap kami tidak dapat makan pun tidak mengapa, asalkan dapat hidup bersama dengan ibu,” katanya.

Dalam pada itu, Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pemotongan gaji suami yang bekerja di sektor swasta boleh dilaksanakan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap pembayaran nafkah dan terdapat perintah mahkamah berkaitan.

Katanya, dalam keadaan tertentu, peguam boleh memasukkan terma dalam perintah mahkamah berhubung pembayaran nafkah melalui majikan.

“Kita akan nyatakan arahan mahkamah bahawa si suami akan membayar amaun tertentu, termasuk butiran majikan sebelum perintah itu diserahkan kepada syarikat berkenaan.

“Perintah mahkamah ini perlu dipatuhi oleh semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×