Usaha keras Perdana Menteri, dasar ekonomi Madani terbukti ‘tebalkan’ saku rakyat - Penganalisis

Usaha keras Perdana Menteri, dasar ekonomi Madani terbukti ‘tebalkan’ saku rakyat – Penganalisis

ANWAR Ibrahim ketika hadir pada majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini. – MINGGUAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun belum sepenggal menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan usaha-usaha keras beliau dalam menjana ekonomi negara berjaya meningkatkan pendapatan rakyat secara umum.

Pensyarah Kanan Ekonomi UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, berdasarkan pandangan ekonomi, beliau mengakui bahawa sejak Anwar memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal ini, pembangunan ekonomi secara makro itu dilaksanakan sebaik mungkin.

Katanya, antara usaha-usaha itu adalah meningkatkan gaji minima rakyat dan meningkatkan kenaikan gaji kakitangan awam.

Pada masa sama, katanya, usaha-usaha untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) juga diusahakan untuk membangun dengan baik supaya dapat menjana ekonomi tempatan dengan lebih cemerlang dan mampan.

“Cuma adakah ia memadai? Bagi saya usaha itu usaha yang baik dan berterusan tetapi tidak mencapai lagi hasrat yang harus diterjemahkan kepada rakyat Malaysia yang sedia ada.

Bashir Ahmad Shabir Ahmad

“Kerana pada masa sama kita dihimpit dengan peperangan global yang menyebabkan kenaikan harga minyak melambung tinggi sehingga memberi kesan ketara kepada sektor pengangkutan, pelancongan, industri makanan, sektor eksport-import dan sebagainya,” katanya hari ini.

Baru-baru ini, menurut Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) yang diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) menunjukkan purata gaji dan upah bulanan warganegara Malaysia meningkat 4.1% kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada tahun sebelumnya.

Pada masa sama, penengah gaji dan upah bulanan meningkat 5.3% kepada RM2,940 daripada RM2,793 pada 2024.

DOSM memaklumkan bilangan penerima gaji dan upah bulanan keseluruhan meningkat kepada 12.01 juta orang berbanding 11.96 juta pada 2024 dan daripada jumlah itu, warganegara Malaysia merangkumi 10.38 juta orang atau 86.4% daripada keseluruhan pekerja bergaji sepenuh masa.

Dalam pada itu, Bashir berkata, situasi geopolitik global secara tidak langsung telah merencatkan sedikit sebanyak pertumbuhan ekonomi negara yang pada asalnya nampak berada dalam keadaan yang agak baik.

Maka, katanya, Belanjawan 2027 adalah sangat penting yang akan menentukan sektor ekonomi negara ke arah berdaya saing dengan menghadapi cabaran-cabaran dan isu global yang berlaku sekarang.

“Pada masa sama kerjaaan perlu memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terutama M40 dan B40 itu dapat diutamakan.

“Saya mengharapkan belanjawan tahun ini akan memberikan lebih penekanan bagaimana kerajaan boleh mengatasi aspek-aspek elemen yang berlaku di global ini yang dapat diterjemahkan dalam Belanjawan 2027 dengan mekanisme yang dirasakan sesuai untuk membantu makroekonomi negara terus berkembang maju,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×