Hakisan pantai kritikal, peniaga Teluk Nipah akur pindah

Hakisan pantai kritikal, peniaga Teluk Nipah akur pindah

PENIAGA memindahkan barang dan peralatan perniagaan di Teluk Nipah ke lokasi perniagaan baharu ketika tinjauan di Pangkor semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Gerai perniagaan di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor di sini yang berdepan hakisan pantai yang kritikal, akur dengan arahan berpindah ke tempat perniagaan baharu yang lebih selesa dan selamat berdekatan dengan lokasi sedia ada.

Ia melibatkan seramai 16 peniaga gerai makan dan 14 orang peniaga cenderamata dan kraftangan yang berpindah ke lokasi baharu berdekatan yang dibina Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

ADUN Pangkor, Norhaslinda Zakaria menyambut baik pemindahan peniaga tersebut dan tapak pesisir pantai lama itu akan dibina landskap baru.

Menurutnya, langkah itu membolehkan fungsi Pantai Teluk Nipah dikembalikan sebagai kawasan perkelahan awam selain memudahkan pelaksa­naan projek benteng kawalan hakisan.

“Kedai-kedai lama di pesisir pantai ini berada dalam zon kritikal disebabkan hakisan yang dilaporkan mencecah sehingga tiga meter setiap tahun.

“Saya difahamkan kompleks bazar baharu turut menyediakan susun atur lot niaga yang lebih seragam dan sistem parkir teratur, kebersihan dan ke­selamatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurutnya, pemindahan peniaga membantu mengelakkan kenderaan seperti van, teksi dan motosikal sewa daripada berhenti atau diletakkan secara tidak teratur di tepi jalan utama sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Usaha ini sebahagian daripada langkah lebih menyeluruh untuk memulihkan kawasan pantai, menyusun sistem jalan raya serta meningkatkan aspek keselamatan pelancongan di Teluk Nipah,” katanya.

Sementara itu, peniaga makanan, Harun Salmun, 64, berkata, dia sudah lapan tahun berniaga di situ tanpa ada perubahan untuk mencantikkan kawasan perniagaan itu selain persekitaran yang tidak teratur termasuk kurangnya kemudahan asas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×