SHAH ALAM: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh didakwa mendiamkan diri apabila institusi diraja di Negeri Sembilan berdepan krisis.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar berkata, sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bersikap hipokrit apabila Kementerian Pendidikan membatalkan syarat 30 peratus pemilikan ekuiti oleh Bumiputera dalam institusi pendidikan swasta (IPS).
“Jika Dr. Akmal benar-benar mahu tampil sebagai pejuang Melayu, suaranya sepatutnya kedengaran apabila tindakan kepimpinan UMNO tidak menghormati Undang Undang Tubuh Negeri dan institusi diraja di Negeri Sembilan.
“Namun, beliau memilih untuk membisu terhadap partinya sendiri, tetapi lantang menyerang Kerajaan MADANI. Itulah hipokrasi dan dwi standard,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah Kementerian Pendidikan.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Jelas Sivamalar, penghapusan kritikan terhadap keputusan pembatalan syarat 30 peratus pemilikan ekuiti oleh Bumiputera itu turut dipersetujui oleh pemimpin MIC iaitu bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.
“Dr. Akmal juga wajar merujuk pendirian rakan komponennya dalam Barisan Nasional (BN) yang menyokong dasar ini kerana beliau faham isu pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan.
“Keputusan tersebut sama sekali tidak menghapuskan hak istimewa Bumiputera, sebaliknya hanya melibatkan syarat pemilikan. Jangan mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen perkauman terhadap perkara yang jelas skopnya,” tegasnya. – UTUSAN











