Kasihan kalau dibiarkan, sampai ada artis yang minta bantuan zakat - Adam Shahz - Utusan Malaysia

Kasihan kalau dibiarkan, sampai ada artis yang minta bantuan zakat – Adam Shahz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Shahz, mengakui sudah lebih setahun menolak tawaran berlakon ekoran kadar bayaran tidak berasas yang diberikan oleh sesetengah pihak produksi yang ditawarkan kepadanya.

Adam atau Nor Shah Azli Abd Hamid, 46, berkata, walaupun menerima beberapa tawaran, dia memilih untuk menolaknya kerana kadar bayaran serendah RM300 sehari dianggap satu bentuk penindasan terhadap artis.

“Bagi saya tawaran itu ada, tetapi tidak menepati cita rasa. Contohnya dulu kita boleh dapat RM2,000 ke RM3,000 sehari kalau bayaran harian.

“Tetapi sekarang ini kebanyakan orang tawarkan kita RM300 ke RM400. Lepas itu mereka pandai, beritahu drama ini ada 30 episod dan bila kita teruja nak buat, rupanya mereka kata tiada bajet dan beri kadar sekitar RM600 sehari.

“Saya rasa benda itu tidak bagus dalam industri kerana ia akan mengehadkan kreativiti pelakon. Pada akhirnya kita perlu makan dan ada bil yang perlu dibayar. Kalau dibiarkan, kasihan sampai ada artis terpaksa minta bantuan zakat,” katanya.

Adam berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media pratonton telefilem Miselia di Theatrette, Wisma TV, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.

Sementara tidak berlakon di set, Adam menjelaskan dia beralih menjadi tenaga pengajar sebagai alternatif untuk terus bertahan.

“Buat masa ini Alhamdulillah, walaupun saya tidak berlakon tetapi saya mengajar untuk bengkel-bengkel anjuran Finas.

“Dalam masa yang sama, saya juga mengajar mengenai kesihatan mental untuk polis bantuan bersama seorang rakan. Itulah rutin saya sejak enam bulan ini.

“Sebab itu saya masih boleh ketawa lagi. Kalau orang lain mungkin sudah menangis, tetapi Alhamdulillah saya masih bertahan walaupun ada masa perit juga,” ujarnya.

Menyentuh soal tanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya, Adam menegaskan kewajipan itu tetap disempurnakan mengikut kadar kemampuannya.

“Alhamdulillah saya masih lagi mampu dan membayar nafkah seperti biasa.

“Cuma kalau ada sebarang perkara berbangkit, saya akan bawa isu tersebut ke mahkamah untuk diselesaikan secara rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Miselia bakal bersiaran pada 10 Oktober 2026, eksklusif di TV1 dan boleh distrim secara digital menerusi RTMKlik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×