GEORGE TOWN : Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini telah berjalan dengan amat baik dan konstruktif.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai Exco, beliau tidak pernah berdepan masalah untuk bekerja dengan pimpinan serta rakan-rakan daripada PKR dan DAP dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Rashidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata, hal ini demikian kerana, hubungan kerja yang terjalin adalah berasaskan kepada sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik serta keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan Pulau Pinang.
Beliau berkata, dalam hal ini, perbezaan latar belakang parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bekerjasama apabila matlamat utama yang ditetapkan adalah untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya juga berpandangan bahawa kerjasama yang telah dibina di Pulau Pinang sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2023 merupakan satu bentuk persefahaman politik yang perlu dihargai dan diperkukuhkan.
“Justeru, keputusan PH Pulau Pinang untuk mengekalkan wakil BN dalam pentadbiran negeri sehingga PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang juga mencerminkan kepentingan kesinambungan kerjasama tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Rashidi berkata, beliau juga menyokong agar Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat perlu terus dipertahan dan diperkukuhkan sehingga tamat penggal demi memastikan kestabilan pentadbiran negara, kesinambungan dasar serta tumpuan kerajaan diberi kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya bahawa kestabilan politik bukan sekadar mengenai parti atau jawatan, tetapi mengenai kemampuan kita untuk bekerja bersama, menghormati perbezaan dan menyelesaikan perkara yang memberi kesan kepada rakyat.
“Oleh itu, kerjasama yang baik perlu diteruskan. Perbezaan boleh diraikan, tetapi kepentingan rakyat mesti sentiasa diutamakan,” ujar beliau.
Ketika ini, Rashidi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh merupakan satu-satunya wakil UMNO dan BN dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak 2008.











