PETALING JAYA: Malaysia mencadangkan supaya satu mekanisme rasmi diwujudkan bagi membantu keluarga 55 rakyat negara ini yang masih belum ditemui susulan bencana di Nepal bulan lalu, sekiranya usaha pencarian gagal memberikan kepastian mengenai nasib mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu dibangkitkan ketika beliau dalam panggilan telefon dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, sebelum berlepas ke China pagi tadi.
Menurutnya, mekanisme berkenaan penting bagi membolehkan keluarga mangsa menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan.
“Saya turut membangkitkan keperluan mewujudkan suatu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan proses pencarian tidak dapat memberikan kepastian.
“Langkah ini penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.
“Saya akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Shah bagi memperincikan cadangan ini,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, beliau turut menyampaikan keresahan dan harapan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.
Katanya, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nepal, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang bekerja keras dalam operasi mencari mangsa.
“Perdana Menteri Shah menjelaskan bahawa keadaan di lapangan masih amat rumit, dengan skala bencana dan kemusnahan yang disifatkan seumpama tsunami.
“Beliau memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya, meskipun keadaan di lapangan semakin mencabar,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu pengambilan pekerja Nepal ke Malaysia, khususnya peranan ejen.
Menurutnya, Malaysia dan Nepal sependapat bahawa proses pengambilan pekerja perlu bebas daripada eksploitasi serta pengenaan bayaran tidak munasabah yang hanya menguntungkan pihak tertentu.
“Sistem pengambilan pekerja harus telus dan kompetitif serta melindungi hak dan kebajikan pekerja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Menteri Sumber Manusia Malaysia dan rakan sejawatnya di Nepal akan segera mengadakan perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap isu pengambilan pekerja antara kedua-dua negara. – UTUSAN











