Ada berita baik soal gaji dalam Belanjawan 2027 - Ramanan

Ada berita baik soal gaji dalam Belanjawan 2027 – Ramanan

RAMANAN menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di PICC, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan memberi petunjuk bahawa Belanjawan 2027 bakal membawa khabar gembira buat golongan pekerja, khususnya berkaitan aspek gaji.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bentuk inisiatif yang bakal diumumkan itu sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2027 nanti.

“Nak gaji naik? Haa itu ‘hint’ dia. tak boleh bagitahu lebih. Memang ada berita yang bagus. Kita biar Perdana Menteri yang umumkan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) ke 17, di sini hari ini.

Katanya, pengumuman itu nanti seiring dengan hasrat kerajaan untuk melihat negara ini terus maju ke hadapan khususnya dalam mencapai kedudukan status negara maju.

Ditanya lanjut mengenai khabar gembira itu, Ramanan sekadar berkata, beliau serahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkannya ketika pembentangan Belanjawan 2027.

“Tak boleh (beritahu) banyak, nanti saya kena marah,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini.

Sementara itu dalam ucapannya, Ramanan berkata, Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan nanti bakal membawa berita baik kepada graduan dan pekerja di negara ini.

“Yang naik sekali adalah gaji. Tidak lama lagi kerajaan akan umumkan di dalam bajet (Belanjawan 2027).

“Dalam bajet ini, saya ingat banyak daripada graduan-graduan yang ada akan gembira. Itu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang kena umumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×