JDT lancar platform penstriman JDT+, tampil dua dokumentari eksklusif - Utusan Malaysia

JDT lancar platform penstriman JDT+, tampil dua dokumentari eksklusif

LUIS Garcia menunjukkan laman sesawang JDT+ yang bakal dilancarkan 22 Oktober depan pada sidang media di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal melancarkan platform penstriman digital rasmi dikenali sebagai JDT+ bagi memberi peluang kepada penyokong menyaksikan liputan eksklusif di sebalik tabir skuad Harimau Selatan pada 22 Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, platform yang boleh diakses menerusi laman web jdtplus.com itu bakal menampilkan dua dokumentari khas iaitu Untamed dan Outbound yang memaparkan perjalanan kelab serta perjuangan mereka di pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Menurutnya, pelancaran JDT+ bertujuan merapatkan jurang antara kelab dan penyokong, sekali gus membolehkan peminat memahami usaha serta cabaran dilalui pemain dan pengurusan.

“Selama ini penyokong hanya melihat pemain di atas padang, seolah-olah mereka sukar didekati. Menerusi JDT+, kami mahu berkongsi realiti sebenar JDT, bukan sahaja daripada sudut bola sepak, malah daripada aspek peribadi dan kemanusiaan.

“Kami mahu penyokong merasakan mereka adalah sebahagian keluarga besar kelab ini,” katanya dalam sidang akhbar pra-pelancaran JDT+ di Ibu Pejabat JDT, di sini hari ini.

Garcia berkata, produksi original utama pertama JDT+, Untamed iaitu sebuah dokumentari menyusuri kebangkitan JDT sebagai sebuah kuasa bola sepak digeruni di Asia Tenggara.

“Untamed memfokuskan kepada jiwa dan semangat Tunku Mahkota Ismail sejak mengambil alih kelab pada 2012, termasuk pelbagai dugaan, keputusan sukar serta visi Baginda dalam membina empayar JDT sehingga menjadi gergasi bola sepak Asia Tenggara.

“Sementara itu, dokumentari Outbound pula memberi fokus kepada perjalanan JDT dalam saingan ACL. Ia merangkumi emosi, sesi latihan serta perlawanan yang ditempuhi pasukan dengan satu matlamat iaitu untuk terus berkembang dan mengejar impian menjulang trofi di peringkat Asia,” katanya.

Dalam pada itu, Garcia memberitahu, penetapan harga langganan secara bulanan dan tahunan serta pelan keahlian akan diumumkan semasa pelancaran pada 22 Oktober depan, bagaimanapun ia tidak berteraskan keuntungan komersial sebaliknya lebih kepada usaha memberi nilai tambah kepada penyokong.

“Langkah ini selari dengan visi Tunku Mahkota Ismail untuk terus memperkasa jenama JDT sebagai sebuah organisasi sukan global yang serba moden, merangkumi pelbagai disiplin sukan lain seperti ragbi, polo, permotoran dan bola jaring,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×