SHAH ALAM: Penganjuran Pertandingan Pancaragam Universiti Teknologi Mara (UiTM) (UMBC) 2026 baru-baru ini di Seri Iskandar, Perak menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record (MBOR).
UMBC 2026 diiktiraf sebagai pertandingan pancaragam yang menerima paling banyak penyertaan dan pancaragam paling ramai memainkan lagu konsep patriotik iaitu Negaraku.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajarnya, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi dalam kenyataannya berkata, pengiktirafan tersebut sebagai sebuah lakaran sejarah dalam empat hari penganjurannya 12 kontinjen pancaragam UiTM dari seluruh negara.
“Pencapaian itu membuktikan keupayaan warga UiTM mengangkat seni persembahan pancaragam ke tahap yang lebih tinggi.
“Kejohanan itu menyatukan elemen disiplin, estetika muzik, kreativiti, kepimpinan dan semangat kebangsaan dalam sebuah platform yang berprestij,” katanya.
UMBC 2026 dianjurkan pada 15 hingga 19 September lalu di UiTM Cawangan Perak bertemakan ‘Melakar Sejarah, Menggema Patriotisme’ sebagai inisiatif memperkasa bakat, kepemimpinan dan kemenjadian mahasiswa menerusi seni pancaragam.
Pertandingan tersebut menghimpunkan ratusan penggiat seni pancaragam UiTM yang bukan sahaja mengetengahkan kecemerlangan seni persembahan muzik, malah menjadi medan pembentukan disiplin, kreativiti, kepemimpinan, keyakinan diri dan semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kesatria dan Kokurikulum, Datuk Dr. Hasrol Jono berkata, kejayaan penganjuran itu adalah hasil komitmen kolektif seluruh warga pelaksana yang menjadi asas kepada kelancaran kejohanan.
“Bakat mahasiswa perlu diberikan ruang, bimbingan dan pentas yang sewajarnya. UMBC bukan sahaja menguji keupayaan muzikal, malah membentuk disiplin, ketahanan mental, kepemimpinan serta semangat setiakawan dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya. – UTUSAN











