Empat maut, 22 cedera akibat Taufan Dujuan

Empat maut, 22 cedera akibat Taufan Dujuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Taufan Dujuan mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan 22 yang lain di Jepun, manakala ribuan rumah berhampiran Tokyo terputus bekalan elektrik selepas ribut itu melanda wilayah berkenaan, menurut pihak berkuasa hari ini.

Taufan itu bergerak menjauhi pantai Jepun dan menuju ke Lautan Pasifik pagi tadi, membolehkan pihak berkuasa menarik balik atau menurunkan tahap kebanyakan amaran hujan lebat dan tanah runtuh.

Dujuan sebelum ini menyebabkan pameran perdagangan permainan video antara terbesar di dunia di ibu negara itu ditutup lebih awal.

Jepun sering dilanda taufan kuat pada penghujung musim panas dan awal musim luruh, dengan beberapa ribut lain pada musim ini turut mengganggu penganjuran beberapa acara di Sukan Asia yang berlangsung di negara berkenaan.

Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana Jepun memaklumkan tiga orang maut di wilayah Chiba dan seorang lagi di wilayah Kanagawa, kedua-duanya berhampiran Tokyo.

Operasi mencari enam individu yang masih hilang selepas tanah runtuh akibat hujan lebat masih diteruskan, menurut agensi berkenaan.

Lebih 45,000 isi rumah di Chiba, berhampiran Tokyo, masih terputus bekalan elektrik petang ini, manakala lebih 460 rumah mengalami kerosakan.

Walaupun Dujuan semakin lemah ketika bergerak ke arah timur laut, taufan itu membawa hujan pada kadar rekod di beberapa kawasan sekitar Tokyo.

Oshima, sebuah pulau kira-kira 120 kilometer di selatan Tokyo, merekodkan 832 milimeter hujan dalam tempoh 48 jam, lebih dua kali ganda purata jumlah hujan sepanjang September, lapor penyiar awam NHK.

Jumlah hujan di Edogawa Ward, Tokyo, mencecah rekod 282.5 milimeter dalam tempoh 24 jam.

Saintis berkata perubahan iklim akibat aktiviti manusia meningkatkan risiko hujan lebat kerana atmosfera yang lebih panas mampu menampung lebih banyak wap air.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×