Peniaga tau fu fah sumbang RM10,000 bantu Najib

Peniaga tau fu fah sumbang RM10,000 bantu Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang peniaga tau fu fah yang dikenali sebagai Sunnycoco menyumbang RM10,000 bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tanda membalas budi atas bantuan yang diterima 14 tahun lalu.

Sunnycoco atau nama sebenarnya Seow Chau Pen berkata, beliau pernah menjalani tahanan di Manjung pada 2009 sebelum mengemukakan rayuan kepada Kementerian Dalam Negeri pada 2012 untuk menamatkan tempoh tahanan lebih awal untuk pulang menjaga kedua-dua ibu bapanya yang sudah tua.

Katanya, rayuan itu ditulis dengan bantuan penghulu tempatan ketika Najib yang merupakan Perdana Menteri ketika itu menghadiri satu program di Manjung, Perak. 

“Tidak lama selepas itu, saya menerima pemberitahuan daripada KDN bahawa saya boleh menamatkan tahanan lebih awal dan pulang ke rumah.

“Bagi orang lain, ia mungkin sekadar sepucuk surat atau sedikit bantuan, tetapi bagi saya ketika itu, ia peluang untuk memulakan kehidupan baharu,” katanya dalam kenyataan. 

Sunnycoco berkata, selepas pulang ke rumah, beliau mula menjual tau fu fah sebelum secara beransur-ansur membangunkan perniagaan kecilnya sendiri.

Menurutnya, beliau sentiasa mengingati bantuan yang diterima ketika melalui tempoh paling sukar dalam hidupnya dan kini mahu membalas budi selepas melihat Najib turut berharap dapat pulang ke rumah bagi menjalani hukuman.

“Ketika saya memerlukan bantuan dahulu, beliau membantu saya. Hari ini, mengikut kemampuan saya, saya juga mahu melakukan sesuatu untuk membalas budi itu.

“Saya sudah membuat keputusan untuk menyumbang RM10,000. Saya bukan orang kaya dan tidak mempunyai kemampuan yang besar,” katanya.

Menurutnya, keuntungan yang diperoleh daripada penjualan semangkuk tau fu fah adalah kira-kira RM1, justeru jumlah RM10,000 itu bersamaan keuntungan daripada penjualan 10,000 mangkuk.

“Jadi, saya akan menjual 10,000 mangkuk. Semangkuk demi semangkuk dijual, sedikit demi sedikit wang disimpan.

“Ini bukan kerana politik dan bukan juga untuk mengajak orang lain melakukan perkara sama seperti saya. Ini hanyalah hutang budi yang mahu saya balas dengan cara saya sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×