PETALING JAYA: Dasar pemilikan ekuiti bumiputera adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri memaklumkan pihaknya tidak mempunyai makluman berhubung penyelarasan syarat pemilikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan.
MITI merujuk kenyataan media Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu dan menjelaskan pihaknya tidak mempunyai makluman mengenainya.
“Untuk penjelasan, perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti bumiputera adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi,” menurut kenyataan itu.
MITI berharap penjelasan berkenaan dapat memperbetulkan peranan kementerian itu dalam perkara terbabit supaya maklumat yang disampaikan kepada orang awam adalah tepat dan jelas.
Kementerian Pendidikan semalam menyebut, pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasikan IPS di bawah kementerian itu.
Kementerian tersebut berkata, keputusan itu dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan MITI.-UTUSAN











