Bakat tempatan perlu lahirkan teknologi milik Malaysia

Bakat tempatan perlu lahirkan teknologi milik Malaysia

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Perasmian UniversitY Research and Innovation Investment Summit (URIIS) 2026 di WTCKL di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sasaran Malaysia meraih pelaburan RM500 bilion dan melahirkan 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi menjelang 2030 perlu diterjemahkan kepada penghasilan teknologi, harta intelek serta syarikat milik negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu merupakan pelaburan besar negara dalam pembangunan bakat dan keupayaan tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, bakat sahaja tidak mencukupi tanpa memastikan ilmu dan kepakaran yang dimiliki turut menghasilkan teknologi, harta intelek serta syarikat Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global.

“Kita bukan sahaja perlu berbangga apabila sesuatu produk itu ‘Buatan Malaysia’, tetapi perlu berusaha supaya lebih banyak teknologi ‘Dicipta di Malaysia’ dan semakin banyak harta intelek serta perusahaan ‘Dimiliki Malaysia’.

“Malaysia perlu kekal sebagai destinasi pelaburan dunia, namun pada masa sama, negara juga perlu menjadi tempat dunia datang untuk menemukan hasil ciptaan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti 2026 (URIIS 2026) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, Malaysia sudah membina kedudukan kukuh dalam industri global termasuk sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor serta pembuatan termaju.

Katanya, negara juga sudah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan yang menghasilkan teknologi digunakan di seluruh dunia.

“Namun, penglibatan dalam rantaian nilai berbeza daripada memiliki bahagian nilai yang lebih besar.

“Persoalannya, sejauh mana penyelidikan dan teknologi yang dihasilkan daripada pengetahuan rakyat Malaysia akhirnya menjadi harta intelek, produk dan syarikat Malaysia?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×