PUTRAJAYA: Keberkesanan Dasar Gaji Progresif akan dinilai menerusi kajian komprehensif yang dijangka akan dilaksanakan hujung tahun ini atau awal 2027.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kajian itu akan meneliti kaedah pelaksanaan dasar berkenaan, termasuk keberkesanan insentif kerajaan serta keperluan majikan untuk meningkatkan gaji pekerja secara sukarela.
Katanya, Dasar Gaji Progresif kini sedang dilaksanakan dan tempoh dasar itu ditetapkan sehingga penghujung 2027.
“Penilaian keberkesanannya memang kita minta supaya satu kajian yang komprehensif. Supaya dapat melihat bagaimana kaedah melalui insentif daripada kerajaan dan juga keperluan pihak majikan itu secara sukarela untuk meningkatkan gaji hasil daripada imbuhan daripada kerajaan.
“Semakan kajian itu kita jangka hujung tahun ini ataupun awal tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi, di sini, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif perlu disertai peningkatan produktiviti pekerja menerusi latihan dan pendedahan yang bersesuaian.
Katanya lagi, insentif kerajaan perlu disertai komitmen majikan untuk mengambil tindakan susulan dalam meningkatkan produktiviti.
“Dalam komitmen Dasar Gaji Progresif, kita ikat bahawa insentif itu perlu datang bersekali dengan produktiviti dan produktiviti itu perlu dibentuk sama ada dalam bentuk latihan ataupun pendedahan yang perlu disusun.
“Komitmen ini kena datang bersama, ia tidak boleh sebagai contoh insentif itu disalurkan tetapi majikan tidak mengambil tindakan yang seterusnya untuk meningkatkan produktiviti,” katanya.
Sebelum ini, seramai 4,025 majikan melibatkan 51,363 pekerja telah menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) dan memenuhi syarat kenaikan pendapatan. – UTUSAN











