BANGKOK: Anak lelaki Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, Dr Chakriwat ‘Than Aong’ Vivacharawongse, memohon untuk dibenarkan pulang ke negara itu bagi menjalani pembedahan otak segera.
Dalam video yang dimuat naik malam tadi, Dr Chakriwat berkata beliau menghidap dua ketumbuhan besar pada otak yang memerlukan pembedahan.
Beliau berkata, Thailand menjadi pilihannya untuk mendapatkan rawatan kerana yakin doktor di negara itu mempunyai kepakaran yang diperlukan bagi menjalankan pembedahan berkenaan.
Namun, katanya, beliau tidak mempunyai wang mencukupi untuk menjalani pembedahan di Malaysia atau Amerika Syarikat (AS).
Dr Chakriwat turut melahirkan kebimbangan terhadap keselamatannya jika tidak menerima rawatan yang sewajarnya dalam tempoh diperlukan.
“Saya mahu pulang ke Thailand untuk mendapatkan rawatan kerana doktor di negara itu mempunyai kepakaran tinggi,” katanya dalam video berkenaan, menurut perkongsian beliau mengenai situasi yang dihadapinya.
Rayuan itu mendedahkan perkembangan baharu mengenai kecemasan kesihatan yang didedahkannya pada 18 September lalu.
Ketika itu, doktor berusia 43 tahun berkenaan berkata keadaan kesihatannya berada pada tahap ‘sangat teruk’, selain beberapa pakar neurologi memberi amaran beliau mungkin terlantar atau meninggal dunia sekiranya rawatan ditangguhkan.
Kebimbangan mengenai kesihatannya mula diketahui umum pada awal September apabila beliau memaklumkan dirinya tidak sihat dan sedang menumpukan perhatian kepada proses pemulihan.
Saudara lelakinya kemudian mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kebimbangan terhadap keadaan beliau selepas melihat beberapa gambar yang menunjukkan keadaan kesihatannya.
Mereka berkata tidak mengetahui lokasi beliau ketika itu atau sama ada beliau menerima ubat dan rawatan yang bersesuaian. Mereka turut menawarkan bantuan dan bersedia menghubunginya sekiranya beliau memberikan maklum balas.
Dr Chakriwat hidup dengan neurofibromatosis jenis 2 (NF2), yang kini dikenali sebagai schwannomatosis berkaitan NF2, sejak berusia kira-kira 13 tahun.
Keadaan genetik yang jarang berlaku itu boleh menyebabkan ketumbuhan terbentuk pada saraf serta di dalam otak atau saraf tunjang.
Ketumbuhan berkaitan NF2 lazimnya bukan kanser. Namun, saiz dan kedudukannya boleh menyebabkan masalah serius apabila menekan otak, saraf tunjang atau saraf lain.
Dalam catatan peribadi yang diterbitkan pada 2015, Dr Chakriwat berkata beliau sudah menjalani 10 pembedahan terbuka, selain rawatan Gamma Knife dan CyberKnife.











