MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada jam 3 petang ini di Kompleks Seri Negeri bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Spekulasi mengenai pembubaran DUN itu semakin bertiup kencang selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang asalnya dijadualkan berlangsung pada Rabu dilaporkan diawalkan kepada pukul 12 tengah hari hari ini.
Menurut sumber, Ab Rauf akan mempengerusikan mesyuarat Exco berkenaan sebelum menghadiri Mesyuarat Pasca-Exco di Auditorium Seri Negeri pada jam 2 petang.
Difahamkan, surat panggilan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) untuk hadir ke Seri Negeri pada jam 2.30 petang turut diedarkan semalam.
Sumber itu juga memaklumkan bahawa surat pembubaran DUN telah ditandatangani Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, sebelum beliau berlepas ke Jepun.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengesahan rasmi berhubung pembubaran DUN berkenaan.
Difahamkan, Pejabat Ketua Menteri dijangka mengeluarkan jemputan media sekitar tengah hari ini bagi menghadiri sidang media yang dijadualkan berlangsung pada jam 3 petang.
Sebelum ini, Ab Rauf beberapa kali memberi bayangan bahawa pembubaran DUN semakin hampir menerusi ungkapan satu Jumaat lagi dalam beberapa kenyataannya.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan mandat kerajaan negeri semasa dijadual berakhir pada 27 Disember ini. – UTUSAN











