KOTA BHARU: Polis Kelantan sudah mengeluarkan surat teguran kepada dua ketua polis balai di negeri ini yang gagal petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menangkap seorang penagih setiap hari menerusi pelan strategik baharu membanteras dadah yang mula dilaksanakan sejak 15 Julai lalu.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia sebagai langkah awal supaya individu terbabit menjalankan tugas dan menjayakan misi membanteras penyalahgunaan dadah.
Katanya, ketua balai yang gagal mencapai sasaran turut diberikan tempoh untuk memperbaiki pencapaian masing-masing dan memenuhi KPI ditetapkan.
“Saya tidak zalim sangat. Kita bagi teguran dulu, saya hantar surat teguran dulu. Selepas itu barulah tindakan. Contohlah, katakan sehari seorang. Dalam masa seminggu mesti tujuh orang.
“Kalau hari ini kosong, dia (ketua balai) kena pastikan esok dua. Jadi dia hutang satu dengan saya. Hari ini kosong, esok kosong, lusa kosong, tidak bolehlah macam itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, setakat ini beliau mendapati terdapat tujuh balai yang gagal menepati sasaran berkenaan.
Katanya, mana-mana balai yang tidak capai sasaran akan dipantau.
“Pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan juga akan diturunkan ke kawasan balai berkenaan sekiranya tiada tangkapan direkodkan dalam tempoh tersebut.
“Kalau IPK dapat tangkap, ketua balai berkenaan akan kena tindakan. Maknanya tidak buat kerja kalau IPK boleh dapat tangkap,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, pencapaian setiap balai akan terus dipantau menerusi statistik yang dibentangkan dalam mesyuarat mingguan.
“Kita sekarang ini buat pemantauan secara mingguan. Bulan depan, selepas tempoh rintis tiga bulan, kita akan buat .bedah siasat’
“Selepas itu akan panggil semua ketua balai dan kenal pasti siapa yang tidak dapat capai sasaran serta punca dan sebabnya,” katanya.
Utusan Malaysia 21 Julai lalu melaporkan, semua 56 ketua balai polis di seluruh negeri ini perlu menangkap seorang penagih setiap hari menerusi pelan strategik baharu membanteras dadah yang mula dilaksanakan sejak 15 Julai lalu bagi memastikan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah menjadi lebih berkesan melalui kaedah secara berfokus.-UTUSAN











