Penumpang pitam sebelum terjatuh ke landasan LRT Wangsa Maju

Penumpang pitam sebelum terjatuh ke landasan LRT Wangsa Maju

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penumpang dipercayai pitam sebelum terjatuh ke landasan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju pada pukul 6.52 pagi, hari ini.

Rapid KL berkata, sistem Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan sejurus kejadian bagi membolehkan bekalan kuasa ke landasan diputuskan sementara sebagai langkah keselamatan.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya mengalami sedikit kelewatan.

“Penumpang terlibat kemudiannya berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan oleh petugas stesen dan dibawa ke bilik kecemasan untuk mendapatkan rawatan awal,” katanya dalam kenyataan.

Rapid KL turut menasihatkan penumpang yang berasa kurang sihat atau memerlukan pertolongan ketika berada di stesen atau platform supaya mendapatkan bantuan Polis Bantuan atau petugas stesen.

“Penumpang juga dinasihatkan supaya sentiasa berada di belakang garisan kuning ketika berada di platform sebagai langkah keselamatan semasa menunggu tren,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×