DUNGUN: Tiga pendaratan penyu belimbing atau Raja Penyu direkodkan di pesisir pantai Terengganu sepanjang bulan ini membabitkan keseluruhan 195 biji telur dipindahkan ke tapak pengeraman bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup spesies berkenaan.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, tiga pendaratan itu direkodkan pada 1 September di Pantai Pasir Putih, Marang membabitkan 44 telur; 13 September di Pantai RantauAbang dengan 81 telur dan hari ini di Pantai Kuala Abang di Dungun dengan 70 telur.
Katanya, pendaratan berkenaan direkodkan melalui pemantauan berterusan Jabatan Perikanan Malaysia menerusi Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TCIC) Rantau Abang.
“Ketiga-tiga pendaratan ini adalah rekod penting dalam usaha pemantauan dan pemuliharaan penyu belimbing di Terengganu. Lebih penting, kesemua telur yang berjaya diselamatkan kini mendapat perlindungan dan dipantau melalui proses pengeraman terkawal,” katanya hari ini.
Adnan berkata, bagi pendaratan pada 1 dan 13 September lalu, penyu induk tidak ditemukan di lokasi ketika pemeriksaan dijalankan.
Bagaimanapun, kata beliau, bagi pendaratan ketiga di Pantai Kuala Abang kira-kira pukul 2 pagiini, penyu induk dapat dijumpai dan diukur oleh pegawai pemuliharaan.
“Penyu berkenaan mempunyai panjang karapas 215 sentimeter (cm) dan lebar karapas 115 cm serta menghasilkan 70 biji telur,” katanya.
Adnan berkata, semua 70 telur itu dipindahkan kira-kira pukul 6 pagi hari yang sama ke tapak pengeraman di TCIC Rantau Abang sebelum ditanam semula pada kedalaman antara 80 hingga 100 sentimeter bagi menyediakan keadaan yang hampir dengan sarang semula jadi.
Katanya, tempoh pengeraman dijangka antara 55 hingga 70 hari bergantung kepada suhu pasir sebelum anak penyu menetas.
“Pemantauan keadaan sarang dilaksanakan secara berkala oleh TCIC. Dengan pemindahan telur daripada ketiga-tiga pendaratan tersebut, keseluruhan 195 biji telur kini berada di bawah pengurusan pemuliharaan TCIC Rantau Abang bagi meningkatkan perlindungan sarang dan peluang kelangsungan hidup telur sehingga menetas,” katanya. – UTUSAN











