KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sarah Suhairi menasihati masyarakat untuk menghargai bakat seseorang selebriti berbanding terus-menerus menjadikan rupa fizikal sebagai bahan kritikan.
Sarah, 26, berkata budaya mengejek tubuh badan artis seperti yang terjadi kepada rakan penyanyi, Najwa Latif baru-baru ini adalah perkara toksik yang wajar dihentikan kerana bakal memberi kesan emosi kepada mangsa.
“Perkara ini tidak terjadi di Malaysia sahaja, di Korea Selatan lagi teruk kecaman kalau nampak ‘idol’ mereka berisi sedikit. Saya pun ‘netizen’ juga, ada di posisi sama macam pengguna media sosial.
“Sebagai pengguna media sosial, saya rasa lebih baik jika kita fokus kepada seni yang ingin disampaikan oleh seseorang artis itu. Kenapa perlu kita tunjuk atau tulis benda yang kita tahu pasti akan memberi kesan kepada individu tersebut?
“Bagi saya, kalau ada perkara negatif yang ingin diperkatakan, lebih baik simpan untuk diri sendiri. Apabila perkara itu dibawa ke ruang awam, orang lain akan mudah tokok tambah dan ia seolah-olah ‘membakar’ keadaan menjadi lebih parah,” katanya ketika ditemui semasa sidang media Karok Dapur, di sini, pada Isnin.
Tambah juara Big Stage musim pertama ini, bakat dan hasil produk seseorang selebriti perlu lebih dahulu dibincangkan, bukannya tubuh parasnya.
“Saya lebih suka tengok seni orang itu, apa yang orang itu persembahkan. Kalau kata orang itu pelakon, pergi tengok filem terbaharu yang ada sekarang.
“Pengarah kita, pelakon lelaki, pelakon wanita semua hebat-hebat. Lihat apa yang orang tu ada, bakat itu sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sarah turut mendedahkan bahawa dia juga pernah menjadi sasaran
‘body shaming’ yang dikatakan terlalu kurus, malah ada yang menyindir kononnya fizikalnya kelihatan demikian kerana suaminya tidak menyediakannya makanan mencukupi.
“Ada juga yang bertanya, ‘Oh Sarah ini nyanyi okey, tapi kurus sangat, suami tak bagi makan ke?’. Namun, saya tidak pernah mengambil serius komen-komen sebegitu.
“Setiap kali menerima komen negatif, saya akan fikir kembali adakah ia betul? Jika betul dan saya boleh perbaiki diri, saya akan fokus ke arah itu. Apa pun yang orang mahu cakap, biarlah, asalkan saya tidak mengganggu hidup orang lain
“Kepada orang di luar sana, saya harap kita boleh fokus lebih kepada lagu yang disampaikan dan cara penyampaian seseorang penyanyi itu,” ujarnya.
Terdahulu, penampilan Najwa Latif di acara Keretapi Sarong tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyentuh perubahan fizikalnya selepas melahirkan anak.
Bagaimanapun ramai peminat tampil membela Najwa dengan mengatakan kualiti vokal penyanyi itu tidak berubah malah tidak wajar memperkatakan tubuh paras orang lain. – UTUSAN











