MADRID: Atletico Madrid mencipta kemenangan berharga apabila menewaskan seteru tetangga Real Madrid 2-1 dalam aksi La Liga di Stadium Metropolitano, semalam.
Alejandro Grimaldo dan Jonathan David masing-masing meledak gol pada babak kedua untuk meraih kemenangan dalam aksi sengit di hadapan penyokong sendiri.
Real yang beraksi secara fizikal pada babak pertama merayu supaya Cuti Romero dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap Jude Bellingham.
Namun, Real yang akhirnya terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas rehat apabila Dean Huijsen dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Giuliano Simeone di dalam kotak penalti
Grimaldo tidak mensia-siakan peluang itu apabila melepaskan sepakan penalti untuk membuka tirai jaringan Atletico sebelum David menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-59.
Real cuba bangkit menerusi jaringan Antonio Ruediger pada minit ke-89, namun jaringan itu hadir lewat untuk mengelakkan Real daripada mengalami kekalahan dalam derbi berkenaan.
Dalam sidang akhbar selepas perlawanan, pengendali Real, Jose Mourinho melepaskan kemarahan kepada pengadil perlawanan yang disifatkannya gagal memain peranan yang sepatutnya.
Real berang kerana Romero tidak dilayangkan kad merah susulan insiden memijak Bellingham dan mereka turut mempersoalkan terjahan keras Lee Kang-in terhadap Federico Valverde.
“Kita boleh melangkau sidang media kerana cerita perlawanan ini ada di sini (terjahan keras). Kedua-dua insiden itu adalah kad merah yang jelas.
Kesukaran yang kami hadapi selepas pemain dibuang padang, 11 lawan 10. Jadi, kami boleh bayangkan bagaimana 50 minit, 11 lawan sembilan jika keadilan diberikan,” kata Mourinho.
Mourinho berkata beliau hanya mampu ‘memeluk’ pemainnya selepas menyifatkan babak pertama sebagai ”penuh kelas dan karakter hebat’, namun beliau melontarkan kritikan tajam terhadap pengadil, Miguel Angel Ortiz Arias serta pihak yang melantiknya.
“Mereka meletakkan seorang pengadil berusia 41 tahun yang tiada pengalaman antarabangsa, pastinya bukan kerana dia pengadil yang hebat.
“Kemudian, malangnya dia datang ke sini dan tidak mampu menangani tekanan dan tekanan itu memang amat kuat. Saya menggelarnya sebagai ‘tekanan gaya 80-an’ di stadium ini, sesuatu yang hampir tidak pernah anda lihat lagi pada zaman sekarang.”
Ketika ditanya mengenai Real yang ketinggalan enam mata di belakang Barcelona, Mourinho memberikan jawapan yang menyindir.
“Jika mereka membiarkan dan membenarkan kami bersaing di padang yang sama rata dengan semua pasukan lain, perjalanan kami masih panjang,” katanya. – AGENSI/UTUSAN











