TAIPING: Kementerian Kesihatan (KKM) belum menetapkan tempoh masa untuk mengaktifkan semula operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) di Sarawak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak mahu menetapkan tarikh atau tempoh tertentu kerana bergantung kepada hasil siasatan rasmi agensi terlibat.
Bagaimanapun katanya, KKM akan berusaha memastikan perkhidmatan berkenaan dapat disambung semula dalam tempoh secepat mungkin.
“Saya tidak boleh menyebutkan waktu dan tarikh, sebab itu akan bersifat janji. Tapi saya sebutkan prinsipnya, kita nak lakukan dengan kadar yang segera.
“Ini kerana ia (perkhidmatan itu) melibatkan lawatan berjadual yang biasa kita lakukan di lokaliti-lokaliti pedalaman, bukannya kecemasan perubatan (medical emergency),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Taiping, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Dzulkefly berkata, KKM sedang memperincikan pembayaran ex-gratia kepada pihak berkaitan susulan insiden FDS.
Katanya, pengiraan sedang dibuat berdasarkan beberapa komponen sebelum jumlah bayaran atau pampasan berkenaan ditentukan.
“Perkara itu sedang kita perincikan dan pengiraan dibuat berdasarkan beberapa komponen sebelum jumlahnya dapat ditentukan.
“Ringkasnya, saya boleh sebutkan bahawa kami sedang mengambil tindakan untuk memastikan kelancaran proses, pertama ex-gratia, tuntutan faedah persaraan dan sebagainya bersama Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam kejadian pada 8 September lalu, helikopter BO-105 membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40 dan Jessie Paya Jok, 44.
Sementara itu, dalam lawatan ke Hospital Taiping, Dzulkefly berkata, KKM memperuntukkan lebih RM1.65 juta bagi menaik taraf dan menambah baik kemudahan di hospital tersebut selain perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan.
Katanya, peruntukan itu juga meliputi kerja menaik taraf, pengubahsuaian dan pembaikan kemudahan kesihatan, tandas serta kawasan lain.
“Pada tahun lalu, sebanyak RM571,000 diperuntukkan bagi kerja naik taraf melibatkan Jabatan Kecemasan dan wad psikiatri hospital berkenaan dan semuanya telah disempurnakan sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN











