PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Yahya Lampong yang meninggal dunia hari ini.
Anwar turut mendoakan agar Allahyarham diampunkan segala dosa, diterima amal kebajikannya serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Menerima khabar duka pemergian mantan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Yahya Lampong yang telah kembali ke rahmatullah hari ini.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa, menerima amal kebajikan dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang beriman.
“Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital di Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Pemergian bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu disahkan anaknya, Masley Yahya menerusi hantaran di Facebook tanpa menyatakan punca kematian.
Allahyarham pernah mewakili Parlimen Kota Belud dari 1982 hingga 1986 selepas memenangi kerusi berkenaan sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum 1982.
Beliau kemudian menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk mewakili Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dari 1985 hingga 1986.
Penglibatan Allahyarham dalam politik bermula pada 1981 apabila bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan atas tiket Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA).
Pada 2013, beliau bertanding di kerusi Parlimen Papar sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR). – UTUSAN











