PETALING JAYA: Pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara bakal menerima berita gembira pada minggu hadapan susulan kutipan RM91.2 juta menerusi bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri H.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebahagian daripada hasil bidaan itu akan digunakan untuk membantu golongan berkenaan memandangkan siri H pada asalnya merupakan nombor pendaftaran teksi.
Katanya, separuh daripada hasil tersebut akan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan untuk Kerajaan Persekutuan, manakala separuh lagi digunakan bagi membiayai inisiatif Kementerian Pengangkutan (MOT) yang berorientasikan rakyat.
“Dengan hasil yang lumayan ini, MOT akan menggunakan wang berkenaan untuk membantu pemandu teksi dan kereta sewa dari seluruh negara.
“Akan ada berita baik untuk pemandu teksi minggu depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, NPI H 1 mencatatkan bidaan tertinggi sebanyak RM10,777,777 menerusi sistem JPJeBid.
Selepas H 1, bidaan kedua tertinggi direkodkan bagi nombor H 9 dengan nilai RM4,969,999, diikuti H 3 sebanyak RM4,209,777 dan H 5 berjumlah RM4,007,777.
Nombor H 8 pula dibida pada harga RM4 juta, diikuti H 6 sebanyak RM3.38 juta, H 2 (RM3.18 juta), H 7 (RM3.1 juta), H 4 (RM2,437,777) dan H 11 (RM1,557,777).
MOT berkata, NPI Siri H yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Malaysia 2026 merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM91,206,642.
Jumlah itu merangkumi RM89,266,542 hasil bidaan serta RM1,940,100 fi perkhidmatan.
Bidaan dilaksanakan sepenuhnya melalui sistem JPJeBid bermula 16 hingga 20 September lalu. – UTUSAN











