PETALING JAYA: Ajinomoto (Malaysia) Berhad menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most ‘Nasi Goreng Kampung’ Giveaway in an Event selepas berjaya mengagihkan 2,026 pek nasi goreng dalam tempoh satu hari.
Pencapaian itu diraih sempena Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa.
Ajinomoto berkata, hidangan berkenaan disediakan dan diagihkan secara percuma kepada pengunjung menggunakan Seri-Aji® Nasi Goreng Kampung, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menikmati hidangan yang sinonim dengan cita rasa rakyat Malaysia.
Katanya, pemilihan sebanyak 2,026 pek turut membawa makna tersendiri bersempena tahun 2026, selain menjadi sebahagian daripada usaha Ajinomoto Malaysia meraikan makanan tempatan yang dekat dengan kehidupan masyarakat serta menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
“Selain agihan Nasi Goreng Kampung, pengunjung yang hadir ke reruai Ajinomoto Malaysia di Pesta Seri Rasa turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sepanjang FBM 2026, termasuk pemberian sampel produk, promosi set kombo dan aktiviti Spin & Win.
“Penyertaan Ajinomoto Malaysia dalam FBM 2026 turut memberi peluang kepada syarikat berinteraksi secara lebih dekat dengan pengguna menerusi makanan, aktiviti dan pengalaman.
“Ia sekali gus mengetengahkan kepelbagaian makanan serta budaya yang menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat itu berkata, usaha itu selari dengan komitmen Ajinomoto Malaysia menerusi “Eat Well, Live Well” yang menggalakkan rakyat Malaysia menikmati makanan yang lazat, selain meluangkan masa untuk memasak, berkongsi dan menikmati hidangan bersama keluarga serta orang tersayang.
“Seiring usaha menggalakkan rakyat Malaysia berkongsi kebaikan melalui makanan, Ajinomoto Malaysia turut menjalankan kempen Cinta Rasa Malaysia dari 1 Ogos hingga 30 September 2026.
“Menerusi kempen ini, pengguna hanya perlu membeli produk Ajinomoto Malaysia yang terlibat dengan nilai minimum RM10 dalam satu resit sebelum menghantar resit berkenaan melalui WhatsApp atau SmartCooking.com.my untuk berpeluang memenangi hadiah bernilai RM25,000,” ujarnya.
Pada masa sama, Ajinomoto Malaysia akan menyumbang RM1 kepada Yayasan MyKasih bagi setiap resit RM10 yang layak dihantar.
Sumbangan berkenaan akan membantu menyokong usaha menyediakan bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh Malaysia. – UTUSAN











