KUALA LUMPUR: Hampir setahun menanti kehadiran cahaya mata ketiga, selebriti popular, Neelofa mengakui perjalanan untuk hamil kali ini memberikan pengalaman berbeza berbanding dua kehamilan terdahulu.
Menerusi podcast Habis Cerita, Neelofa, 38, berkata dia mencuba pelbagai ikhtiar termasuk mendapatkan rawatan moden selepas usaha untuk mendapatkan zuriat ketiga tidak semudah yang dilalui sebelum ini.
“Untuk kehamilan ketiga ini mengambil sedikit masa. Kalau macam anak pertama dan kedua, tidak dirancang dan perjalanannya begitu dipermudahkan.
“Kali ketiga ini saya pernah kongsi dalam kelas usrah sebelum ini yang saya dalam proses TTC (trying to conceive). Perjalanan ini merubah pemikiran saya, baru saya faham perasaan mereka yang memang susah untuk hamil,” katanya.
Menurut Neelofa, ketika mendapatkan pemeriksaan, doktor turut bertanyakan sama ada dia pernah menjalani sebarang rawatan ketika mendapatkan anak pertama dan kedua.
“Selama ini saya tiada pengalaman itu. Apabila saya pergi buat pemeriksaan, soalan pertama yang doktor tanya, anak pertama dan kedua ada lakukan apa-apa treatment atau tidak.
“Saya sampai letak satu garis masa, jika Januari tidak hamil saya mahu cuba IVF. Sentiasa buat kiraan hari sampai satu hari saya bercakap kepada diri sendiri yang saya sudah lakukan macam-macam cara. Tapi sudah minta doa ke tak?” katanya.
Pengalaman tersebut, katanya, membuatkan dia kembali bermuhasabah dan menyedari bahawa usaha serta ikhtiar semata-mata tidak mencukupi tanpa disertai doa kepada Allah.
“Saya tidak ketuk pintu Allah betul-betul. Selepas raya Aidilfitri, saya minta izin dengan suami nak pergi umrah. Saya pergi umrah minta khusus beberapa doa untuk hamil. Saya minta beriya-riya dengan Allah.
“Selepas saya pulang dari umrah, dua minggu selepas itu, saya disahkan hamil. Allah menjawab doa saya yang hampir setahun usaha untuk hamil sekali lagi,” katanya.
Jelasnya, pengalaman berkenaan mengajarnya supaya sentiasa mengiringi setiap usaha dengan doa dan benar-benar memohon kepada Allah.
“Apa pengajaran yang saya dapat adalah, memang betul kita semua boleh usaha dan ikhtiar, tapi tanya semula adakah kita minta doa betul-betul dengan Allah,” katanya.
Sebelum ini, Neelofa enggan mengesahkan dakwaan dirinya sedang hamil anak ketiga ketika ditemui dalam satu temu bual.
Sebaliknya, dia meminta orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat dirinya selain memaklumkan akan berkongsi berita tersebut apabila tiba waktu yang tepat.
Untuk rekod, Neelofa mempunyai dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas, hasil perkahwinannya dengan pendakwah, Haris Ismail.











