PETALING JAYA: Para pembesar tanpa mengira jalur politik perlu memainkan peranan sebagai pendamai dalam meredakan sebarang perselisihan melibatkan Raja-Raja.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, mereka juga tidak seharusnya menjadi ‘batu api’ sehingga mencetuskan ketegangan dan menghangatkan lagi keadaan.
“Raja dengan Raja berselisih. Pembesar tidak kira dari jalur politik apa sepatutnya menjadi pendamai, bukan batu api yang menghangatkan perbalahan.
“Kerana akhirnya rakyat yang menanggung akibat perselisihan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut berharap sebarang perselisihan yang berlaku dapat diselesaikan secara baik.
“Kepada Raja-Raja juga kita harapkan pendamaian boleh berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, Muhamad Akmal tidak memperincikan perselisihan yang dimaksudkan dalam hantaran tersebut. – UTUSAN











