PETALING JAYA: Institusi asing di Bursa Malaysia menamatkan rentetan jualan bersih selama enam minggu berturut-turut apabila mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM127 juta pada minggu dagangan lalu.
MBSB Research berkata, prestasi itu direkodkan dalam minggu dagangan yang lebih singkat dengan pasaran saham ditutup pada Rabu bersempena sambutan Hari Malaysia.
“Institusi asing menjadi pembeli bersih pada tiga daripada empat hari dagangan, dengan aliran masuk terbesar dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM56.5 juta, diikuti Isnin sebanyak RM50.6 juta dan Khamis sebanyak RM37.3 juta.
“Sebaliknya, Selasa menyaksikan institusi asing mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM17.5 juta,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dari segi sektor, ujarnya, tiga sektor utama yang menerima aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah perladangan sebanyak RM131.1 juta, utiliti (RM84.5 juta) dan penjagaan kesihatan (RM84 juta).
Sementara itu, sektor yang merekodkan aliran keluar bersih asing terbesar ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM309.7 juta, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (RM125.2 juta) serta hartanah (RM4.8 juta).
Dalam pada itu, institusi tempatan meneruskan rentetan jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah RM368 juta.
Pelabur runcit pula melanjutkan rentetan pembelian bersih kepada empat minggu berturut-turut apabila merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM241 juta.
Dari segi jumlah dagangan harian purata (ADTV), aktiviti pasaran menunjukkan peningkatan dalam beberapa segmen pelabur.
Selain itu, ADTV institusi tempatan meningkat 10.6 peratus, manakala institusi asing melonjak 41.3 peratus.
“Sebaliknya, ADTV pelabur runcit susut 7.7 peratus sepanjang minggu berkenaan,” katanya. – UTUSAN











