PHILADELPHIA: Penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran berkata dia tidak berniat untuk menjadi seorang pemuzik aktivis namun akhirnya diheret untuk menyuarakan konflik melibatkan Israel dan Palestin yang semakin meruncing.
Sheeran menerusi persembahan konsertnya di Lincoln Financial Field Philadelphia, penyanyi itu tampil menyifatkan serangan di Gaza sebagai satu malapetaka yang tidak adil.
“Saya sudah biasa muzik saya dikritik, dan saya sentiasa gembira untuk menerimanya kerana saya bertuah kerana ramai di antara anda menyukai karya saya, dan sejujurnya, saya terkejut.
“Tetapi minggu ini, kritikan tersebut adalah tentang sesuatu yang jauh lebih penting, dan saya terpaksa menerima serta membuat keputusan yang sukar, dan saya sedang melakukan kesilapan, dan saya amat kesal dan memohon maaf.
“Apa yang berlaku di Israel pada festival muzik (7 Oktober 2023) adalah mengerikan. Namun, apa yang sedang berlaku di Gaza ketika ini adalah satu malapetaka, tidak adil dan melampau.
“Hati saya hancur melihat skala kemusnahan dan kehilangan nyawa orang awam, terutamanya nyawa kanak-kanak,” katanya dipetik daripada laporan media antarabangsa.
Isu ini mula mendapat perhatian peminat selepas penyanyi rap, Macklemore mendedahkan dia telah digugurkan daripada siri jelajah Ed Sheeran ketika melaungkan ‘Free Palestine’ di Stadium MetLife, New Jersey, baru-baru ini.
Sheeran tampil menjelaskan bahawa keputusan menggugurkan rakan artisnya itu bukanlah atas kemahuannya sendiri, sebaliknya dibuat oleh pihak penganjur siri jelajah tersebut.
Sheeran turut mendedahkan beberapa pengurusan stadium yang dijadualkan menjadi lokasi konsert mengancam untuk membatalkan persembahan jika Macklemore kekal dalam senarai artis pembukaan.
Sementara itu, pihak penganjur, Messina Touring Group dalam satu kenyataan rasmi menjelaskan bahawa keputusan sukar itu terpaksa diambil bagi mengelakkan ratusan ribu peminat kecewa jika konsert dibatalkan sepenuhnya.
“Kami telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan lokasi (stadium) untuk tarikh siri jelajah akan datang bahawa mereka tidak akan membenarkan konsert berlangsung jika Macklemore berada dalam senarai persembahan.
“Tindakan itu akan mengakibatkan pembatalan siri jelajah dan memberi kesan kepada ratusan ribu peminat. Selepas berbincang dengan pihak berkepentingan, Macklemore tidak akan membuat persembahan untuk baki tarikh jelajah yang ada,” kata kenyataan itu. -UTUSAN











