Motosikal dipercayai dipandu laju, cuba mencelah punca kemalangan maut - Utusan Malaysia

Motosikal dipercayai dipandu laju, cuba mencelah punca kemalangan maut

MOHD. Alwi Zainal Abidin menunjukkan gambar-gambar kemalangan maut di Jalan Jelapang-Ampang di Ipoh ketika sidang akhbar di IPD Muallim di Slim River hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Menunggang pada kelajuan tinggi sebelum cuba mencelah antara kenderaan dipercayai menjadi punca kemalangan maut membabitkan 12 motosikal dan tiga kereta di Jalan Jelapang-Ampang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, keadaan itu dipercayai menyebabkan kenderaan yang ditunggang hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta.

“Kita percaya mereka ini menunggang pada kelajuan tinggi dan cuba melalui celah-celah kenderaan. Kita percaya mereka hilang kawalan sebelum melanggar kereta tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku selepas kumpulan pertama penunggang motosikal gagal mengawal kenderaan masing-masing sebelum melanggar sebuah kereta Toyota Vios.

Susulan pelanggaran itu katanya, kumpulan kedua penunggang motosikal gagal mengelak lalu melanggar motosikal dan kereta yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut masih dijalankan termasuk mengesan pemilik sebenar kenderaan yang terlibat,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, polis telah merekodkan keterangan 15 daripada 20 individu termasuk pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Katanya, keterangan baki lima individu akan diambil selepas mereka selesai menerima rawatan di hospital.

“Keseluruhannya, seramai 20 individu terlibat dalam kejadian itu dan daripada jumlah tersebut, 15 orang sudah diambil keterangan manakala lima lagi yang masih menerima rawatan belum direkodkan keterangan.

“Dalam kalangan mereka yang terlibat, ada yang masih belajar dan di bawah umur. Jadi, kita akan turut mengambil keterangan ibu bapa atau penjaga mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi anak-anak di bawah jagaan masing-masing khususnya yang masih di bawah umur.

“Langkah itu penting bagi memastikan anak-anak tidak terlibat dalam kegiatan samseng jalanan yang boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×