PETALING JAYA: Pelakon, Ako Mustapha, meluahkan rasa bangga terhadap isterinya, Kartina Shuaib, yang menerima tawaran sebagai jurucakap bagi sebuah produk walaupun bukan merupakan seorang yang terkenal.
Ako atau Muhaizad Ahmad Mustapha, 55, berkata, isterinya pada mulanya menyangka berlaku kekeliruan memandangkan dia bukan seorang artis, sedangkan ramai selebriti lain yang boleh dipilih sebagai jurucakap produk tersebut.
“Saya nak berkongsi, isteri saya dapat tawaran menjadi jurucakap untuk satu produk. Dia gelak besar apabila bertanya kepada pengasas produk itu sama ada betul atau tidak kerana dia bukan artis.
“Kalau nak artis, saya ada ramai kenalan. Tetapi pengasas itu beritahu memang nak tawarkan kepada isteri saya,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Tambah Ako, isterinya dimaklumkan bahawa kontrak akan diserahkan pada keesokan harinya.
“Esok juga pengasas itu akan beri kontrak kepada isteri saya. Saya sangat gembira dan bangga dengan awak, sayang,” ujarnya.
Untuk rekod, pelakon Ako Mustapha telah berkahwin dengan Kartina Shuaib pada 17 Januari 2009 dan kini mereka dikurniakan empat orang anak.











