PARIS: Beban hutang Perancis dijangka mencecah paras tertinggi sejak 1978 pada tahun ini, didorong defisit negara yang terus meningkat.
Kementerian Kewangan Perancis memaklumkan hutang negara itu dijangka mencapai 119.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 sebelum meningkat kepada 121.7 peratus pada 2027.
Angka itu lebih dua kali ganda had rujukan 60 peratus KDNK yang ditetapkan Kesatuan Eropah bagi negara anggotanya.
Institut Perangkaan Perancis berkata, paras hutang berkenaan merupakan yang tertinggi direkodkan negara itu sejak 1978.
Menurut sumber kementerian, peningkatan hutang itu berlaku secara automatik susulan defisit yang kekal tinggi.
Perancis merupakan negara ketiga paling banyak berhutang dalam zon euro, selepas Greece dan Itali. Di Sepanyol, hutang negara itu turun di bawah 100 peratus KDNK pada Julai, manakala Portugal berjaya mengurangkan hutangnya kepada bawah 90 peratus KDNK pada 2025.
Mengikut peraturan EU, defisit awam, iaitu kekurangan tahunan antara hasil dan perbelanjaan kerajaan, sepatutnya tidak melebihi tiga peratus daripada KDNK.
Namun, defisit Perancis tahun lalu mencecah 5.1 peratus daripada KDNK, manakala kerajaan mengunjurkan angka itu meningkat kepada 5.4 peratus tahun ini.
Perancis yang berada di bawah pemantauan khas EU sejak dua tahun lalu susulan paras defisit yang tinggi menjangka defisit itu berkurangan kepada lima peratus tahun depan, ketika negara berkenaan mengadakan pilihan raya bagi memilih presiden dan kerajaan baharu.
Kerajaan sudah mengemukakan cadangan langkah dalam Belanjawan 2027 kepada badan pemantau fiskal bebas, Majlis Tinggi Kewangan Awam (HCFP), untuk menilai kesesuaiannya dari sudut makroekonomi.
Perdana Menteri, Sebastian Lecornu, ketika membentangkan rangka belanjawan itu pada Khamis berkata kerajaan merancang pelarasan dan pemotongan perbelanjaan bernilai 54 bilion euro (RM290 bilion) dalam Belanjawan 2027.
Namun, dengan pilihan raya semakin hampir, beliau menyerahkan kepada Parlimen untuk menentukan beberapa langkah yang lebih sensitif, termasuk cadangan kerajaan mengurangkan pelepasan cukai bagi pesara.- AFP











