‘Tembok Asia’ cabaran Shah Firdaus buru emas

‘Tembok Asia’ cabaran Shah Firdaus buru emas

Muhammad Shah Firdaus Sahrom bakal berdepan dengan pelumba-pelumba sedang meningkat naik daripada beberapa negara Asia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga tahun selepas sekadar membawa pulang dua gangsa di Hangzhou, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kembali ke pentas Sukan Asia dengan cabaran lebih berat apabila perlu menembusi kelompok pencabar Asia yang semakin sengit dalam pecut dan keirin.

Lebih menarik, Shah hadir dengan misi berbeza apabila masalah utamanya bukan lagi kecederaan lutut kanan tetapi kemampuan menghasilkan pecutan awal yang cukup pantas untuk menyaingi barisan pelumba terbaik benua itu.

“Ketika ini, jurulatih memberi tumpuan kepada pecutan saya kerana di Sukan Komanwel kita sudah dapat lihat kaki saya masih kurang dari segi pecutan.

“Apabila sudah mencapai kelajuan, saya boleh teruskan tanpa masalah, cuma peralihan daripada kelajuan perlahan kepada kelajuan tinggi itu yang masih menjadi masalah,” katanya.

Jika masalah itu belum benar-benar selesai, Shah perlu berdepan juara pecut Hangzhou 2022, Kaiya Ota dari Jepun, selain Li Zhiwei dan Xie Han dari China yang masing-masing membawa keputusan podium Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 pada Februari.

Minato Nakaishi dari Jepun turut muncul sebagai ancaman selepas meraih gangsa pecut pada kejohanan sama, manakala Ronaldo Singh Laitonjam dan David Beckham Elkatohchoongo dari India serta Jai Angsuthasawit dari Thailand menambah kepadatan persaingan.

“Jika kita lihat prestasi saya di Sukan Komanwel, saya yakin kita boleh mara ke pusingan seterusnya, walaupun ia bukan mudah, dan saya yakin dengan prestasi saya serta mampu melakukan sesuatu terutama dalam keirin.

“Saya perlahan-lahan membina keyakinan dan membina semula kuasa pada kaki kanan saya,” katanya yang melalui proses pemulihan panjang.

Keirin yang dijadualkan pada 2 Oktober mungkin memberikan ruang lebih besar kepada Shah kerana Han muncul juara keirin ACC 2026 dan Zhiwei naib juara, manakala Kang Shih Feng dari Taiwan serta Jai dan Norasetthada Bunma dari Thailand turut disenaraikan sebagai pencabar.

Namun, ketiadaan Ota dalam keirin selepas Jepun memilihnya untuk memberi tumpuan kepada pecut individu dan berpasukan sedikit mengubah persaingan, sekali gus membuka ruang buat Shah dan Datuk Azizulhasni Awang memburu peningkatan daripada gangsa individu yang diraih Shah di Hangzhou 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×