PETALING JAYA: Kemenangan 3-0 ke atas Jepun tidak sepenuhnya melegakan Ketua Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan, Ahmad Jais Baharun apabila beberapa kelemahan yang muncul dalam aksi pembukaan regu berpasukan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 semalam memaksanya mempertimbangkan rombakan menjelang pertemuan dengan Filipina hari ini.
Ahmad Jais mengakui kemenangan ke atas tuan rumah tidak boleh menutup beberapa elemen permainan yang masih perlu diperbaiki, terutama selepas regu ketiga berdepan masalah apabila Muhammad Haziq Hairul Nizam melakukan empat kesalahan servis berturut-turut sebelum digantikan Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican.
“Secara keseluruhan untuk perlawanan pertama, walaupun kita mencapai kemenangan, namun dari segi prestasi pemain-pemain kita ada beberapa elemen permainan yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan kedua menentang pasukan Filipina esok (hari ini).
“Kita harapkan semua pemain dapat melihat sejauh mana kekurangan pemain-pemain kita pada perlawanan pertama untuk kita perbaiki dan kita pertingkatkan bagi perlawanan kedua esok,” kata Ahmad Jais.
Jika regu pertama yang dibarisi Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias dianggap agak konsisten, Ahmad Jais mengakui masih ada ruang untuk Farhan Adam memperkemaskan pertahanan selepas pemain itu dilihat sedikit longgar pada set pertama.
“Kalau kita tengok secara keseluruhannya, regu Syahir bermain dengan agak konsisten, cuma daripada segi pertahanan Farhan tadi pada set pertama itu sedikit longgar.
“Untuk regu kedua, pada saya regu anchor kita berada pada tahap yang agak konsisten, namun boleh dipertingkatkan lagi khususnya daripada segi serangan dan juga pertahanan,” katanya.
Namun, persoalan lebih besar muncul pada regu ketiga apabila prestasi Haziq belum mencapai tahap yang diharapkan, dengan empat servis berturut-turut tersangkut memaksa Ahmad Jais bertindak pantas membawa keluar pemain itu dan memasukkan Zarif.
“Pada regu ketiga kita, agak merisaukan apabila prestasi Haziq belum berada pada tahap yang kita harapkan, dengan servis empat kali sangkut secara berturut-turut itu memang merisaukan kita,” katanya.
Tindakan itu bagaimanapun mengubah rentak regu ketiga apabila Zarif membantu Malaysia bangkit selepas tewas 13-15 pada set pertama untuk memenangi dua set berikutnya 15-5 dan 15-6, sekali gus memastikan kemenangan mutlak negara.
Menjelang aksi Filipina yang boleh mengesahkan tiket ke separuh akhir, Ahmad Jais sudah memberi petunjuk bahawa kemenangan ke atas Jepun tidak menjamin susunan yang sama apabila beliau mempertimbangkan kemasukan Muhammad Shahalril Aiman Halim bagi menguji kemampuan pemain itu dalam suasana pertandingan sebelum cabaran di peringkat lebih tinggi. – UTUSAN











