HAPPY Potato perkukuh kedudukannya sebagai jenama makanan dan minuman (F&B) berasaskan kentang goreng goncang pertama Malaysia sebelum meneruskan pengembangan ke lebih banyak pasaran di Asia.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Happy Potato, Edmund Lim berkata, syarikat tidak melihat dirinya sekadar sebagai penjual kentang goreng, sebaliknya mahu membina kepakaran dalam kategori berkenaan melalui produk yang konsisten, pilihan perisa serta inovasi yang memenuhi citarasa pengguna.
“Happy Potato bukan menjual kentang goreng semata-mata, tetapi jenama kami memberi fokus kepada satu kategori dan berusaha menjadi pakar dalam kategori tersebut.
“Strategi kami adalah memastikan pengalaman menikmati kentang goreng sentiasa konsisten melalui penggunaan kentang berkualiti, pilihan perisa yang pelbagai dan inovasi produk yang sentiasa diperbaharui mengikut citarasa pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 2019 itu telah berkembang daripada sebuah cawangan tempatan di Sabah kepada lebih 126 cawangan di lima negara, termasuk lebih 117 cawangan di Malaysia.
Menurutnya, syarikat kini beroperasi di Malaysia, Bangladesh, Indonesia, Kemboja dan China, selepas berjaya memasuki empat pasaran baharu dalam tempoh enam bulan.
Edmund berkata, perkembangan tersebut menjadi asas kepada usaha syarikat untuk membina jenama F&B yang mampu berkembang merentasi pasaran, namun pengembangan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan standard operasi dan kualiti produk dapat dikekalkan.
“Kami percaya setiap pasaran mempunyai keperluan yang berbeza. Justeru, pendekatan kami adalah memahami pengguna tempatan sambil mengekalkan identiti jenama Happy Potato.
“Keyakinan kami datang daripada pengalaman membangunkan jenama di beberapa pasaran serta sokongan pelanggan yang terus berkembang,” katanya.
Menurutnya, Happy Potato menyasarkan untuk mencapai 200 cawangan di seluruh Malaysia menjelang 2028, selain meneroka tiga hingga lima pasaran baharu di Asia.
Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat belum bersedia mengumumkan pasaran baharu secara spesifik kerana setiap kemasukan bergantung kepada kesiapsiagaan pasaran dan rakan francais yang sesuai.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada rantau Asia, dan pengembangan akan dilaksanakan secara berperingkat dan mampan.
“Syarikat memilih untuk mengembangkan perniagaan secara berperingkat supaya setiap cawangan dapat mengekalkan standard operasi dan kualiti yang sama.
“Kami percaya pertumbuhan yang mampan adalah penting selain pertumbuhan yang pantas,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, Happy Potato sentiasa menilai peluang untuk mengembangkan jenama ke kategori baharu yang selari dengan kekuatan jenama dan permintaan pengguna, termasuk segmen barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).
Namun, Edmund berkata, fokus utama syarikat ketika ini adalah mengukuhkan model perniagaan sedia ada sebelum meneroka kategori baharu.
“Sebarang pengenalan produk FMCG pada masa depan akan bergantung kepada kajian pasaran, permintaan pengguna dan kesesuaiannya dengan jenama Happy Potato.
“Keutamaan kami adalah memastikan setiap produk yang diperkenalkan benar-benar memenuhi jangkaan pengguna dan mampu mengekalkan standard kualiti yang kami pegang,” ujarnya. – UTUSAN











