PTM sokong pendirian menteri, berkarya jangan sampai menghina Rukun Negara

PTM sokong pendirian menteri, berkarya jangan sampai menghina Rukun Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Teater Malaysia (PTM) menyokong pendirian Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berhubung isu video pementasan yang didakwa menghina Rukun Negara yang tular di media sosial.

Timbalan Presiden Persatuan Teater Malaysia (PTM), Mohamad Letfee Ahmad berkata, kebebasan berkarya dan kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memperlekehkan asas kenegaraan atau mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kami menyokong siasatan yang telus berasaskan undang-undang. Jika ada bukti pelanggaran undang-undang, biarlah tindakan diambil mengikut proses yang sewajarnya.

“Jika ada konteks yang tidak diketahui daripada klip yang tular itu, perkara itu juga perlu dijelaskan secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti beberapa akaun media sosial dan individu berkaitan video pementasan yang kembali tular serta didakwa mengandungi kandungan menyentuh institusi Raja, Malaysia dan Rukun Negara.

MCMC menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung video berkenaan yang kini tersebar di media sosial.

Menurut Letfee, perkara yang wajar diberi perhatian bukan sekadar soal sama ada sesuatu persembahan itu lucu, satira atau bersifat eksperimental, sebaliknya penggiat teater perlu memahami batas dalam berkarya.

Katanya, PTM tetap memegang prinsip bahawa kebebasan seni dan kreativiti tetap penting dalam sebuah masyarakat demokratik.

Namun, kebebasan tersebut datang bersama tanggungjawab untuk menghormati perkara-perkara yang menjadi asas kehidupan bersama, khususnya apabila karya menyentuh isu kaum, identiti, institusi negara dan keharmonian masyarakat, katanya.

“Di mana batas kebebasan berkarya apabila simbol, prinsip dan asas yang menyatukan rakyat Malaysia dijadikan bahan sindiran dan ejekan?.

“Rukun Negara bukan sekadar ikrar yang dibaca ketika majlis rasmi tetapi merupakan asas pembinaan identiti nasional dan usaha memupuk semangat perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya.

Beliau berkata, sebarang tindakan menormalisasikan penghinaan terhadap prinsip yang menjadi asas penyatuan rakyat, wajar ditentang.

“Kita tidak mahu Malaysia menjadi negara yang takut kepada kritikan. Tetapi kita juga tidak mahu atas nama ‘seni’ dan ‘kebebasan bersuara’, perkara yang sepatutnya menyatukan rakyat akhirnya dijadikan alat untuk menghina atau memecah-belahkan masyarakat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×