MACHANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan ke atas seorang lelaki selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah untuk membakar rumah selepas isterinya keluar tanpa izin apabila berlaku perbalahan berkaitan kegagalan lelaki itu menunaikan nafkah sewa rumah pada minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Shahril Mat Sali, 32, yang sebagai penjual minyak wangi mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengugut seorang wanita berusia 35 tahun dengan menyatakan jika mangsa sekali lagi keluar rumah tanpa izinnya, dia akan membuang barang-barang rumah dan membakar kediaman berkenaan.
Ugutan itu dibuat dengan niat menyebabkan ketakutan dan kegentaran terhadap mangsa.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bandar, Pulai Chondong di sini kira-kira pukul 2 pagi pada 11 September 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd. Amran manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliyana Othman.
Ahmad Hazim sebelum itu, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira hubungan tertuduh dan mangsa sebagai suami isteri.
“Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa trauma dan seorang suami sepatutnya menjadi tempat selamat dan pelindung kepada isteri. Bukannya menyebabkan isteri risau akibat perbuatan yang menakutkan,” katanya.
Norfaraliyana dalam rayuannya memohon hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.
“Tertuduh bekerja sebagai penjual minyak wangi dengan pendapatan kira-kira RM800 hingga RM1,000 sebulan. Tertuduh juga menanggung isteri bersama dua anak dan pengakuan salahnya menjimatkan masa dan kos semua pihak,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh bagaimanapun tidak membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Berdasarkan penyataan impak mangsa yang dibacakan di mahkamah, tertuduh turut mengancam membuang barang-barang rumah dan membakar rumah sewa yang depositnya dibayar sendiri oleh mangsa.
Mangsa memberitahu dia benar-benar takut ancaman itu akan menjadi kenyataan, khususnya jika dia sekali lagi keluar menziarahi ibu bapanya.
Kebimbangannya semakin memuncak apabila tertuduh juga kerap menyalakan api di sekitar rumah dan mangsa pernah melihat suaminya menunjukkan keseronokan ketika melihat api menyala.-UTUSAN











