Malbatt tidak akan dihantar ke Yaman tanpa mandat PBB - Mindef - Utusan Malaysia

Malbatt tidak akan dihantar ke Yaman tanpa mandat PBB – Mindef

Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Malaysia tidak akan bertindak menghantar pasukan pengaman Batalion Malaysia (Malbatt) ke Yaman secara sendirian tanpa berpandukan mandat keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penempatan pasukan pengaman itu juga tidak akan dibuat melibatkan negara yang sedang berdepan konflik pada ketika ini.

Sehubungan itu katanya, keadaan di Yaman berbeza dengan keadaan di Lubnan yang menyaksikan Malaysia menghantar pasukan pengaman sebelum ini.

“PBB tidak pernah hantar mana-mana pasukan untuk terlibat dalam perang. Keadaan di Yaman sekarang ini tengah konflik, tengah perang.

“Jadi kena faham, kalau negara berkonflik bersetuju untuk membawa perdamaian, maka kita hantar pasukan pendamai, pasukan pengaman untuk memastikan syarat-syarat perdamaian itu dihormati semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan kerajaan Yaman, namun konflik yang berlaku ketika ini membabitkan kumpulan Houthi yang berkonflik dengan Arab Saudi.

“Ini negara yang sedang berperang, jika kita masuk ditengah-tengah dibimbangi akan ada korban jiwa dan raga,” katanya lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×