PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu depan.
KPM dalam kenyataan berkata, langkah itu mengambil kira pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung ketetapan struktur pemilikan pusat tuisyen.
Menurut kementerian, ketetapan berkenaan telah diperincikan dalam Buku Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada 2006.
“KPM akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu hadapan.
“KPM menghargai sumbangan para pengusaha pusat tuisyen selama ini dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah KPM, ruang pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan dan pembelajaran anak-anak Malaysia.
“KPM mengambil maklum pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung ketetapan tersebut dan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak.
“KPM berpandangan bahawa ruang pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan dan pembelajaran anak-anak Malaysia,” katanya. –UTUSAN










