PUTRAJAYA: Sejumlah 7.6 juta penduduk di lima negeri boleh menikmati kebebasan apabila kerajaan mengisytiharkan mereka sudah beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Ne gara (PPN) mulai
esok.
Dengan peralihan itu rakyat di negeri terbabit hampir kembali menikmati aktiviti harian seperti biasa termasuk kedai gunting rambut mula dibuka selain perniagaan-perniagaan lain juga
kembali beroperasi.
Lima negeri tersebut ialah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berjaya mencapai tiga nilai ambang yang ditetapkan iaitu kes hari an Covid-19 bawah 4,000, kapasiti katil
Unit Rawatan Rapi (ICU) di tahap sederhana dan 10 peratus penduduknya telah menerima dua dos lengkap vaksin.
Di bawah Fasa 2 beberapa perniagaan di bawah Sektor Perdagangan dan Pengedaran dibenarkan beroperasi antaranya kedai gunting rambut (perkhidmatan asas); komputer dan telekomunikasi; kedai buku dan alat tulis serta kedai cuci kereta.
Selain itu, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi menjual komoditi seperti daging, ayam proses, sayur dan buah, barangan runcit dan makanan laut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri-negeri terbabit dapat menikmati pelbagai ke longgaran mulai Isnin ini.
Katanya, kapasiti pekerja bagi sektor swasta dalam perkhidmatan perlu akan dinaikkan kepada 80 peratus tetapi majikan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Saya percaya tindakan ini adalah adil kepada lima negeri berkenaan sebab mereka berusaha keras bagi memenuhi ketiga-tiga nilai ambang ditetapkan kerajaan Persekutuan,” katanya
dalam sidang akhbar khas bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, aktiviti sukan dan rekreasi serta tiada sentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan kemahiran kendiri dibenarkan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu mengumumkan pelaksanaan PPN sebagai strategi peralihan keluar menerusi empat fasa daripada krisis wabak Covid-19 dengan menggunakan pendekatan secara berperingkat bermula dengan Fasa 1 pada akhir bulan lepas dengan tiga indikator utama sebagai nilai ambang sebelum boleh berpindah kepada fasa berikutnya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada setiap minggu meneliti pencapaian setiap negeri menjayakan PPN berdasarkan tiga petunjuk ditetapkan.
“Setelah dibuat penilaian terperinci dan diambil kira keluhan rakyat yang terkesan, kerajaan bersetuju peralihan fasa PPN akan dibuat mengikut pencapaian peringkat negeri,” tegasnya.
Langkah itu dianggap adil kerana ada negeri yang senario penularan rendah seperti Perlis, tetapi masih kekal dalam Fasa 1 disebabkan situasi pandemik serius di Selangor.
Beliau berharap, pengumuman kali ini akan memberi isyarat jelas mengenai usaha Kerajaan Pusat untuk membawa rakyat segera keluar daripada kemelut Covid-19 sekali gus kejayaan lima negeri itu memberi motivasi kepada negeri lain memerangi wabak dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Apatah lagi ujarnya, pelaksanaan PPN tidak menetapkan sebarang tarikh khusus yang tertentu sebagai sasaran seperti kaedah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
“Dengan cara ini, rakyat di setiap negeri akan lebih bersemangat untuk cepat keluar dari Fasa 1 agar mereka dapat masuk pula ke Fasa 2,” jelasnya.
MKN, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan katanya, akan terus memantau perkembangan pencapaian tiga nilai ambang diperoleh semua negeri.
Berdasarkan indikator pertama iaitu kes harian, sembilan negeri melepasi nilai ambang iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Pahang, Perak, Perlis dan Sabah.
Untuk indikator kedua iaitu kapasiti keupayaan wad unit rawatan rapi, enam negeri meraih nilai ambang tidak lagi kritikal iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis dan Sabah.
Sementara indikator ketiga iaitu kadar vaksinasi, kesemua tiga Wilayah Persekutuan serta sembilan negeri sudah melepasi nilai ambang 10 peratus yang ditetapkan Kerajaan Pusat iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Sarawak selain wilayah Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, peralihan lima negeri ke Fasa 2 PPN itu selepas merekodkan penurunan purata kes harian Covid-19 sehingga 50 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan PPN antara 1 Jun dan 1 Julai lalu.
Katanya, negeri tertinggi merekodkan penurunan kes adalah Terengganu dengan 86.1 peratus di mana purata kes harian kini mencapai dua angka iaitu 29 kes pada 1 Julai lalu berbanding 210 kes pada 1 Jun.
“Kelantan di kedudukan kedua dengan penurunan sebanyak 83 peratus. Negeri itu merekodkan 700 kes pada 1 Jun lalu dan kini merekodkan hanya 119 kes pada 1 Julai lalu.
“Selain itu, Perlis di kedudukan ketiga dengan penurunan kes sehingga 75 peratus diikuti Pulau Pinang (57.4 peratus) dan Kedah (53.3 peratus),” katanya.
Katanya, negeri Selangor pula tidak banyak perubahan apabila merekodkan penurunan kes harian hanya 0.9 peratus dan negeri itu masih kekal merekodkan kes harian tertinggi yang mana pada 1 Jun lalu kes dilaporkan adalah 2,382 kes manakala 2,359 kes pada 1 Julai.
Menurutnya, berdasarkan penilaian kes harian, sembilan negeri sudah melepasi nilai ambang ditetapkan dan boleh beralih ke fasa berikutnya.
“Kerajaan menetapkan nilai ambang bagi fasa satu PPN di peringkat nasional adalah 12.2 dan sembilan buah negeri sudah melepasi nilai ambang itu.
“Ia termasuk Perlis dengan nilai ambang 0.8, Terengganu (2.9), Sabah (5.6), Kelantan (6.5), Perak (8.1), Johor (8.5), Pulau Pinang (9.3), Kedah (10) dan Pahang (12.2).
“Negeri lain yang belum melepasi nilai ambang adalah Labuan (114.6), Kuala Lumpur (43.0), Negeri Sembilan (57.1), Selangor (37.7), Melaka (29.2), Sarawak (15.3) dan Putrajaya (14.2),” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, bagi indikator populasi vaksinasi negeri pula, 13 negeri sudah melepasi fasa satu iaitu lebih 10 peratus kadar vaksinasi dua dos. – UTUSAN










